Showing posts with label forum. Show all posts
Showing posts with label forum. Show all posts

Sunday, August 10, 2008

"Guna ISA jika forum diteruskan", Ali Rustam

Oleh Bernama
Sabtu, 09 Ogos 2008

MELAKA: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Majlis Peguam jika mereka meneruskan Forum Memeluk Islam, di Kuala Lumpur esok, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata tindakan Majlis Peguam itu sengaja mahu menimbulkan suasana tidak selamat dalam negara dan boleh menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.

"Jika tindakan tidak diambil, negara akan menjadi huru-hara kerana ia akan membangkitkan kemarahan orang Islam yang akhirnya boleh menyebabkan rusuhan kaum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penuaian padi projek Syarikat Padi Melaka Sdn Bhd di Kampung Bukit Lintang di sini, Jumaat.

Mohd Ali yang juga Naib Presiden Umno berkata forum berkenaan bersifat menghasut rakyat yang boleh membawa kepada perpecahan dan ketegangan kaum, oleh itu ia perlu dikawal lebih awal.

Beliau mahukan semua pihak menghormati prinsip Islam di negara ini dan kebebasan bersuara tetapi jangan sampai menghina orang lain.

Katanya penganjuran forum seperti itu akan mengundang perdebatan yang tidak berkesudahan.

Di KUALA LUMPUR, Senator Datuk Syed Ali AlHabshee memberi amaran kepada Majlis Peguam supaya jangan mencabar tahap kesabaran orang Melayu di negara ini dengan meneruskan niat mereka menganjurkan forum itu.

Beliau juga mempersoalkan hak serta agenda Majlis Peguam dalam menganjurkan forum terbuka itu.

"Apa hak Majlis Peguam nak bincang soal agama Islam dan apa agendanya...jadi saya ingatkan kepada mereka jangan cuba bermain api dengan sengaja mencabar orang Melayu untuk bangun bertindak," kata Syed Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam kerana usaha tersebut sengaja mengundang kemarahan orang Melayu.

"Saya minta KDN dan Polis Diraja Malaysia supaya bertindak segera kerana forum berkenaan sengaja menyentuh sensitiviti orang Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan agama Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Ali juga berkata Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang mengaitkan keagaaman, kaum dan hak orang Melayu tidak boleh dibincangkan secara terbuka.

"Kedegilan mereka (Majlsi Peguam) untuk terus mempertikaikan hak yang terkandung di dalam Perlembagaan terhadap agama Islam, seolah-olah membayangkan kemungkinan ada perancangan sulit terhadap kepentingan Islam di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali juga mempertikaikan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang cuba campur tangan dalam kedaulatan undang-undang di negara ini berkaitan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pentadbiran AS tidak perlu mengingat dan mengajar kita mengenai kedaulatan undang-undang kerana kerajaan tidak pernah mengkhianati sistem perundangan di negara ini dan menambah bahawa sistem kehakiman dan amalan demokrasi di negara ini sentiasa terpelihara.

"Malaysia sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara dan tidak pernah mencampuri urusan mereka, maka kerajaan Amerika Syarikat juga seharusnya berbuat demikian," tegas beliau.

Di BAGAN DATOH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan terhadap Majlis Peguam Malaysia (MPM) sekiranya meneruskan forum itu.

Beliau berkata sikap MPM yang suka membincangkan secara terbuka isu-isu sensitif termasuk hak orang Islam dan Melayu di negara ini boleh mencetuskan permasalahan antara kaum di Malaysia.

"Kita tidak terkejut sekiranya mereka akan membincangkan kedudukan raja-raja Melayu dan sebelum perkara ini berterusan, mintalah dikenakan Akta Hasutan ke atas MPM kerana mengeksploitasikan perhimpunan itu," katanya.


GPMS: Demonstrasi bantah forum Memeluk Islam

Oleh Utusan
Sabtu, 09 Ogos 2008

KL: Beribu-ribu orang dijangka menyertai demonstrasi Majlis Angkatan Antara NGO-NGO Islam (Mapan) di hadapan pejabat Majlis Peguam di Jalan Leboh Pasar Besar di sini pukul 8 pagi esok (9 Julai) bagi membantah penganjuran forum Memeluk Islam.

Naib Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Rani berkata, kesemua ahli Mapan yang terdiri daripada 27 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam telah bersetuju mengadakan demonstrasi kerana Majlis Peguam masih berdegil untuk meneruskan forum tersebut.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, satu memorandum telah dihantar ke pejabat Majlis Peguam petang ini untuk menyatakan pendirian Mapan agar forum tersebut dibatalkan.

Jais berkata, orang ramai yang ingin turut serta esok dalam demonstrasi itu boleh menghubungi Sekretariat Mapan di talian 03-4256 6618, 019-3591000 dan 019-2384000.