Showing posts with label najib. Show all posts
Showing posts with label najib. Show all posts

Monday, September 8, 2008

"Kemenangan Parlimen Pensiangan batal", Mahkamah Tinggi Johor

Oleh Bernama,
9 September 2008

PUTRAJAYA: Tan Sri Joseph Kurup tidak lagi menjadi timbalan menteri ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari Isnin mengisytiharkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum Mac lepas batal dan tidak sah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini kerana timbalan menteri mestilah daripada kalangan anggota Parlimen.

Bagaimanapun, Kurup boleh dilantik sebagai timbalan menteri sekali lagi kelak sekiranya parti bersetuju beliau bertanding semula, kata Najib kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Permata Negara, di sini.

Kurup merupakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan juga Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah.

Najib berkata Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu dan akan membuat persediaan menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu sekiranya perlu.

Kurup menang tanpa bertanding bagi kerusi itu pada pilihan raya umum itu setelah kertas pencalonan calon Parti Keadilan Rakyat Danny Anthony Andipai ditolak.

Mahkamah Kota Kinabalu dalam membuat keputusan hari ini memberikan alasan antaranya penolakan kertas pencalonan itu adalah salah dan melanggar hak perlembagaan seseorang untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Mengenai mesyuarat hari ini, Najib berkata Majlis Penyelarasan Dasar Permata Negara menerima dasar asuhan dan didikan awal kanak-kanak kebangsaan.

Beliau berkata dasar itu akan dibawa ke Kabinet sebelum diperkenalkan ke seluruh negara termasuk meliputi taska kelolaan beberapa kementerian selain di Pusat Anak Permata Negara.

Najib berkata dasar acuan Malaysia itu bertujuan untuk melahirkan kanak-kanak di bawah lima tahun yang mempunyai proses pembangunan yang holistik.


Wednesday, September 3, 2008

"Maafkan saya" Kit Siang

Oleh Malaysiakini,
3 September 2008

PEMIMPIN DAP, Lim Kit Siang petang ini menarik balik kenyataannya yang mendakwa akhbar arus perdana, khususnya Utusan Malaysia dan Berita Harian, tidak menyiarkan berita Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf atas kenyataan ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang didakwa berunsur perkauman.

Lim juga memohon maaf atas kesilapannya itu selepas dimaklumkan bahawa kedua-dua akhbar tersebut turut menyiarkan berita berkenaan.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Lim mempertikaikan keikhlasan permohonan maaf Najib kerana beliau mendakwa berita mengenainya tidak disiarkan oleh akhbar arus perdana Melayu yang dimilik dan dikuasai oleh Umno, terutamanya Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Lim juga lagi, semakan di laman web umum Bernama menunjukkan berita permohonan maaf oleh Najib itu dilaporkan dalam versi bahasa Inggeris, tetapi tidak dalam versi Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini di Kuala Lumpur mendapati berita tersebut turut disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Laman web Utusan Online juga menyiarkan berita tersebut. Edisi langganan Bahasa Malaysia Bernama turut memuatkan berita permohonan maaf Najib walaupun tidak menerbitkan di laman web umumnya.

Ketika dihubungi untuk memaklumkan perkara itu, Lim berkata, beliau membaca akhbar-akhbar tersebut di Pulau Pinang dan mendapati berita tersebut tidak disiarkan.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapat kedua-dua akhbar berkenaan, yang dijual di negeri itu, memuatkan berita tersebut.

Lim kemudiannya menghubungi Malaysiakini petang ini untuk menarik kenyataanya mengenai perkara itu dan memohon maaf di atas kesilapannya itu.


"Tiada maaf bagimu", Kit Siang

Oleh Malaysiakini,
3 September 2008

DAP memberi lima alasan mengapa permohonan maaf timbalan perdana menteri bagi pihak seorang ketua bahagian Umno di Pulau Pinang yang telah membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap orang Cina, "tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima".

Pertama, kata tokoh utama DAP Lim Kit Siang, ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail sendiri tidak memohon maaf dan tidak pun menunjukkan kekesalannya kerana membuat kenyataan tersebut sejak sembilan hari lalu.

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan apakah Ahmad bersikap demikian kerana penuh yakin yang beliau mendapat sokongan pemimpin dan ahli arus perdana Umno.

Oleh itu, Lim bertanya sama ada permohonan maaf Datuk Seri Najib Tun Razak boleh diterima sedangkan Ahmad sendiri masih berdegil dan tidak kesal dengan perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.

"Walaupun jika Ahmad memohon maaf, akan timbul persoalannya sama ada ia memadai, memandangkan dalam kes Wee Meng Chee dalam isu lagu rap Negaraku, kabinet telah menolak permohonan maafnya sebagai tidak mencukupi," kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad di bawah Akta Hasutan.

Oleh itu, Lim mempersoalkan sama ada permohonan maaf Najib itu bermaksud sebagai satu mesej kepada pihak polis dan Peguam Negara supaya jangan mengambil tindakan terhadap Ahmad.

Menurutnya, Najib seharusnya memohon maaf bagi pihak dirinya dan bukannya bagi pihak Ahmad, kerana gagal mengambil tindakan segera terhadap ketua bahagian Umno itu, yang didakwa membuat kenyataan itu sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh 24 Ogos lalu, yang turut dihadiri Najib.

Media perdana

Lim berkata, perdana menteri juga harus memohon maaf dengan alasan cuba melindungi dan melepaskan Ahmad yang telah membuat kenyataan tersebut.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pernah menyatakan ketua Umno itu tidak bermaksud seperti yang dikatakannya dan beliau akan "memberitahu Ahmad supaya jangan mengulanginya".

Akhir sekali, kata Lim, keikhlasan permohonan Najib juga dipersoalkan kerana berita mengenainya didakwa tidak disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana Melayu yang dimilik dan dikuasai oleh Umno, terutamanya Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Menurut Lim lagi, semakan di laman web umum Bernama menunjukkan berita permohonan maaf oleh Najib itu dilaporkan dalam versi bahasa Inggeris, tetapi tidak dalam versi Bahasa Malaysia.

Dengan manipulasi media seumpama itu, dakwa Lim, setakat manalah seseorang itu hendak mempercayai Najib apabila beliau berkata kenyataan Ahmad itu tidak mencerminkan pendirian dan sikap Umno atau kepimpinan Umno.

Katanya, jika Najib benar-benar ikhlas dan serius berhubung kenyataannya mengenai pendirian Umno dan kepimpinan parti itu memisahkan diri mereka dengan kenyataan Ahmad, maka mengapa kenyataannya hanya dibenar dilaporkan dalam media arus perdana bukan Melayu, tetapi tidak dalam media arus perdana Melayu.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini di Kuala Lumpur mendapati berita tersebut turut disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Laman web Utusan Online juga menyiarkan berita tersebut. Edisi langganan Bahasa Malaysia Bernama memuatkan berita permohonan maaf Najib walaupun tidak menerbitkan di laman web umumnya.

Ketika dihubungi untuk memaklumkan perkara itu, Lim berkata, beliau membaca akhbar-akhbar tersebut di Pulau Pinang dan mendapati berita tersebut tidak disiarkan.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapat kedua-dua akhbar berkenaan, yang dijual di negeri itu, memuatkan berita tersebut.


Monday, August 25, 2008

"Tidak perlu cuti umum untuk PRK", Najib

Oleh Bernama
Isnin, 25 Ogos 2008

PP: Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan Selasa ini sebagai cuti umum di negeri itu sempena pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini pertimbangan politik sebenarnya dan tidak pernah dalam sejarah kita perisytiharan cuti umum dibuat untuk pilihan raya kecil," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Mengkuang Titi di sini.

Beliau berkata tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng itu tidak perlu kerana ia hanya melibatkan pilihan raya kecil parlimen sahaja dan bukannya seluruh Pulau Pinang.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata cuti khas itu bagi membolehkan kesemua 58,459 pengundi berdaftar Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu.

Najib berkata tindakan kerajaan negeri memberi cuti itu juga boleh menjejaskan pengeluaran negeri dan menyebabkan banyak kerugian.

Sepatutnya pekerja boleh dibenarkan untuk keluar sejam dua bagi membolehkan mereka mengundi dan menyambung semula kerja selepas itu, katanya.

Mengenai pilihan raya kecil itu, Najib berkata BN akan berusaha untuk melakukan kejutan politik di Permatang Pauh pada Selasa ini.

Katanya semua orang menjangkakan bahawa calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang tetapi dengan kegigihan jentera BN tidak mustahil kemenangan itu berpihak kepada BN.

Beliau berkata untuk menjadi seorang pemimpin negara, calon mestilah mempunyai kredibiliti yang baik, bersih daripada sebarang salah laku, jujur dan bertanggungjawab kepada kawasan yang diwakilinya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan anggota parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu.

Anwar ditentang oleh calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).


Wednesday, August 20, 2008

Harga Minyak: "Turun dulu, baru percaya", Anwar

Oleh Mstar
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan kenaikan harga minyak sebagai antara isu utama kempennya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh sejak Sabtu lalu menyambut baik pendirian kerajaan untuk menaikkan harga minyak dalam sehari dua ini.

Anwar yang bertanding untuk mendapatkan semula kerusi Permatang Pauh berkata, langkah itu adalah ekoran desakan pihaknya bahawa harga minyak mampu diturunkan.

Bagaimanapun kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pihaknya mahu melihat ia dilaksanakan secara rasmi.

"Kita kena tunggu Umno punya janji, kita kena tengok dulu. Kita tak boleh pegang sehingga dia (kerajaan) tunaikan janji.

"Selama ini dia (kerajaan) kata tidak boleh, kita bagi bukti boleh. Kalau dia turunkan baik, bermakna kerana desakan rakyat," kata beliau ketika bercakap kepada pemberita selepas menemui pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti di sini pagi ini.

Ketika berkempen di sini malam tadi dan kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan boleh menurunkan harga minyak dalam tempoh terdekat jika harga bahan bakar itu kekal pada AS$113 setong.

"Sehari dua ini, mungkin ada berita baik. Harga minyak boleh dikaji semula," kata Najib.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, tidak perlu menunggu Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bagi menurunkan harga minyak, sebaliknya kerajaan juga boleh berbuat demikian jika harga minyak kekal pada paras itu.

Dalam kempennya, Anwar berkata, pihaknya akan menurukan harga minyak daripada RM2.70 kepada RM2 seliter jika memerintah.

Ia menjadi modal kempen beliau dalam setiap ceramah umum dan perdananya di sini.

Kata Anwar, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mengatakan bahawa pihaknya tidak perlu menunggu sehingga Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

"Kalau begitu bagus... mereka memahami penderitaan dan kekecewaan yang dialami orang ramai disebabkan kenaikan harga minyak," katanya.


"Tiada katak di Sabah, Sarawak", Najib

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan bahawa terdapat 13 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya nak beritahu, tak ada sebenarnya (yang lompat parti)," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina di Kampung Sungai Lembu, di sini.

Isnin, Jeffrey semasa menyampaikan ceramah di Jalan Berapit mendakwa 13 anggota Parlimen dari Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Najib, yang juga Timbalan Pengerusi BN, turut menolak dakwaan terdapat anggota Parlimen BN dari Sarawak yang akan melompat parti.

"Tiada katak di Sabah dan tiada katak di Sarawak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan mana-mana pihak yang mendakwa terdapat anggota Parlimen BN yang akan bertindak keluar parti.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin menganggap dakwaan yang dibuat Jeffrey itu adalah sebagai "serkap jarang" dan peperangan psikologi yang dilancarkan bagi memancing undi di Permatang Pauh.

"Ini merupakan perang psikologi mendesak pengundi berpihak kepada mereka (PKR). Kalau betul ada, jangan hanya menyebut jumlahnya tetapi senaraikanlah juga nama-nama mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di jentera pilihan raya kecil Umno cawangan Taman Pauh di sini Selasa malam.

Katanya dakwaan itu yang melibatkan dua anggota Parlimen dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan bakinya wakil rakyat Umno adalah tidak akan berlaku.

"Saya tidak percaya ia akan menjadi kenyataan, itu adalah isyarat untuk mengelirukan pengundi kerana mereka pernah mengeluarkan kenyataan yang sama tetapi tidak satu pun betul," katanya.

Sementara itu, ketika melawat bilik gerakan BN di Tanah Liat, di sini, Najib meminta jentera BN untuk berusaha lebih gigih bagi menarik sokongan pengundi terhadap parti itu.

Beliau berkata ketika ini sudah ada tanda-tanda berlakunya perubahan sikap di kalangan pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan inisiatif perlu diambil untuk terus mendapatkan kepercayaan mereka kepada parti.

"Orang kata kita sedang melawan gajah tetapi gajah tidak sentiasa menang dan kita perlu berusaha supaya perkara yang selama ini dianggap mustahil oleh sesetengah pihak akan bertukar menjadi kenyataan iaitu BN mencapai kejayaan," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di situ.

Pada pilihan raya kecil itu, penasihat Parti Keadilan Rakyat itu ditentang calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).


Monday, August 18, 2008

"Tak perlu tunggu Anwar untuk turun harga minyak", Najib

Oleh Bernama
Selasa, 19 Ogos 2008

PERMATANG PAUH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan boleh menurunkan harga minyak dalam tempoh terdekat jika harga bahan bakar itu kekal pada AS113 setong.

"Sehari dua ini, mungkin ada berita baik. Harga minyak boleh dikaji semula," katanya ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di Permatang Tengah di sini hari ini.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata tidak perlu menunggu Penasihat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri bagi menurunkan harga minyak, sebaliknya kerajaan juga boleh berbuat demikian jika harga minyak kekal pada paras itu.

"Kalau harga minyak dunia turun, kerajaan boleh turunkan harga minyak. Ini boleh ditunaikan," katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga akan mengumumkan berita baik untuk rakyat pada pembentangan Belanjawan 2009 pada 29 Ogos ini.

"Ada berita baik nanti dalam belanjawan. Tunggulah," katanya.

Najib berkata langkah kerajaan itu bertujuan bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat ketika ini berikutan peningkatan kos hidup.

"Kerajaan tidak mahu rakyat dalam kesempitan hidup," katanya yang meminta supaya rakyat tidak terpengaruh dengan janji-janji pembangkang yang belum pasti boleh ditunaikan.


Monday, August 11, 2008

"Majlis Peguam degil", Najib

Oleh Bernama
Isnin, 11 Ogos 2008

KL: Kedegilan Majlis Peguam meneruskan forum awam "Memeluk Islam" menjadi punca timbulnya reaksi daripada kumpulan tertentu yang sekaligus boleh menggugat keharmonian negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata reaksi seumpamanya memang dijangka setelah badan profesional guaman itu terus membelakangkan nasihat supaya membatalkan forum berkenaan.

"Saya sudah kata jangan dibuat (forum) secara terbuka kerana tentu berlaku reaksi daripada kumpulan lain, tetapi mereka (Majlis Peguam) berdegil, perkara seperti ini memang sensitif dan kita sudah menjangka ini akan berlaku," katanya selepas merasmikan Pameran dan Konvesnyen Hartanah Bumiputera 2008 di sini, hari ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang timbul apabila forum kontroversi itu tetap diadakan semalam walaupun ditentang pelbagai pihak. Forum itu, bagaimanapun ditamatkan tiga jam lebih awal atas nasihat polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kira-kira 1,000 orang mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar semalam dengan membawa pelbagai sepanduk menentang penganjuran forum berkenaan, termasuk anggota Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (Mapan), PAS, Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama ada penganjur program itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, Najib berkata ia terserah Kementerian Dalam Negeri dan polis.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak mempertikai atau cuba merungkai perkara asas yang telah dipersetujui bersama semua kaum di negara ini, terutama apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau hendak dirungkai balik akan mencetuskan perbalahan yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan dalam negara kita," tegasnya.

Najib berkata masyarakat berbilang kaum di negara ini sudahpun dapat hidup dengan rukun, aman dan damai selama ini kerana masing-masing mengamalkan sikap toleran, menghormati sensitiviti kaum serta berpandukan Perlembagaan negara yang telah dipersetujui bersama.

Maka adalah tidak wajar untuk mempertikaikan perkara yang dipersetujui itu kerana ia boleh menimbulkan timbal balas serta reaksi daripada kumpulan-kumpulan lain, katanya.