Showing posts with label olimpik 2008. Show all posts
Showing posts with label olimpik 2008. Show all posts

Thursday, August 21, 2008

Usain Bolt, Manusia terpantas dunia

Oleh Reuters
Khamis, 21 Ogos 2008

BEIJING: Beliau melakukannya dalam acara pecut 100 meter. Semalam, beliau terus membuktikan kepantasannya dalam acara 200 meter lelaki.

Terbukti, Usain Bolt dari Jamaica benar-benar handal.

Beliau bukan sahaja memenangi acara 200 meter itu, bahkan catatan 19.30 saat yang dilakukannya turut memecahkan rekod dunia yang disandang oleh Michael Johnson dari Amerika Syarikat dengan catatan 19.32 dalam Sukan Olimpik Atlanta 1996.


Dengan kejayaan dalam kedua-dua acara ini, Bolt, 21 tahun, mengulangi kejayaan Carl Lewis dari Amerika yang membolot pingat dalam kedua-dua acara ini dalam Sukan Olimpik Los Angeles 1984.

Churandy Martina dari Belanda Antilles menduduk tempat kedua dengan catatan 19.82 saat, sementara Shawn Crawford dari Amerika di tempat ketiga dengan 19.96 saat.

Rakan senegara Crawford, Wallace Spearmon, dibatalkan kerana beliau berlari di luar lorongnya.


Wednesday, August 20, 2008

'Datuk' Lee Chong Wei

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Jaguh badminton negara Lee Chong Wei akan bergelar Datuk pada 30 Ogos ini apabila dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) oleh kerajaan Pulau Pinang yang bangga dengan kejayaan beliau meraih pingat perak di Sukan Olimpik Beijing pada Ahad lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng memberitahu sidang akhbar di sini hari ini bahawa walaupun rakyat Malaysia kecewa Chong Wei gagal memenangi emas, namun kejayaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu telah membawa kegembiraan di peringkat negeri dan negara.

Katanya persetujuan untuk memberi anugerah itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas semalam.

"Kerajaan negeri berharap anugerah ini akan menjadi satu perangsang kepada Chong Wei untuk mencapai kejayaan lebih besar untuk negeri dan negara," kata Lim.

Dalam perlawanan akhir acara perseorangan, Chong Wei tewas 21-12, 21-8 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China, sekaligus menghampakan harapan rakyat Malaysia untuk melihat seorang atlit negara ini membawa pulang pingat emas pertama daripada Sukan Olimpik.

Chong Wei, 26, anak kelahiran Bukit Mertajam, adalah ahli sukan kedua dari Pulau Pinang yang mendapat gelaran Datuk dalam tempoh dua bulan ini, selepas jaguh skuasy dunia Nicol Ann David diberi gelaran serupa sempena ulang tahun hari jadi Yang Dipertua Negeri pada 12 Julai.


Saturday, August 9, 2008

Brunei tersingkir dari Sukan Olimpik

Oleh Reuters
Sabtu, 09 Ogos 2008

BEIJING: Brunei disingkirkan daripada Sukan Olimpik selepas gagal mendaftarkan sebarang atlet bertanding dalam mana-mana acara, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) malam ini.

“Ia sesuatu yang amat memalukan dan menyedihkan kepada atlet kerana tidak dapat bertanding disebabkan pasukan mereka tidak mendaftarkan nama mereka,’’ kata jurucakap IOC, Emmanuelle Moreau dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Moreau, IOC memberi tempoh hingga tengah hari tadi untuk negara itu mendaftarkan nama atlet mereka, namun ia tidak muncul.

Dua atlet yang sebelum ini dijadual membawa cabaran Brunei di Olimpik Beijing adalah perenang 15 tahun, Maria Grace Koh dan atlet lontar peluru, Mohd. Yazid Yatimi Yusof.

Dengan keputusan terbaru ini bermakna hanya 204 buah negara akan mengambil bahagian pada Temasya yang dibuka secara rasmi malam ini, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos.

Sultan Hassanal Bolkiah menjadi salah seorang tetamu diraja yang dijemput menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.