Showing posts with label Syed hamid albar. Show all posts
Showing posts with label Syed hamid albar. Show all posts

Sunday, August 31, 2008

"Sekat Malaysia Today, bukan menapis", Syed Hamid

Oleh KLpos.com
Ahad, 31 Ogos 2008

KAJANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mempertahankan keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses laman web Malaysia Today, dengan berkata langkah itu bukan bertujuan menapis portal online itu.

Sebaliknya, tindakan itu bertujuan menghalang penyalahgunaan ruang siber untuk menyebarkan pembohongan, katanya ketika diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan telah memungkiri janji apabila campurtangan dalam keselamatan internet dengan menyekat blog.

"Saya fikir di sinilah kita perlu tahu batasan kita... mereka seharusnya melakukan penapisan sendiri dan lebih bertanggungjawab.


"Kalau anda bertindak melampaui batasan, ia mengakibatkan pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan.

Saya fikir negara lain akan turut mengambil tindakan tertentu kerana berasa bimbang sungguhpun dalam isu yang berbeza," katanya selepas menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan di Penjara Kajang di sini hari ini.

Dr Mahathir dalam catatan bertarikh 29 Ogos mendakwa apabila sesebuah kerajaan membuat janji kepada negara dan kemudian memungkirinya, ia bukan saja mengakibatkan kerajaan hilang kredibiliti tetapi juga sebarang rasa hormat yang mungkin ada pada rakyat.

Monday, August 4, 2008

"Polis akan memastikan PRK lancar", Hamid Albar

Oleh Bernama
Selasa, 05 Ogos 2008

KL: Polis mungkin akan menempatkan lebih ramai anggotanya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamid Albar.

Beliau berkata ini kerana pilihan raya kecil itu dijangka panas dan menarik memandangkan ia melibatkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita jangkakan ia menarik dan panaslah. Tapi kami harap tiada kejadian tidak diigini berlaku.

"Polis akan memastikan pilihan raya kecil ini berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Kepimpinan Perkhidmatan Awam: Paradoks Kuasa dan Sifat" di Intan di sini, Isnin.

Suruhanjaya Pilihanraya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu pada Rabu. Pilihan raya kecil itu diadakan apabila presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh minggu lepas bagi memberi laluan untuk suaminya bertanding.

Terdahulu, Syed Hamid berkata perkhidmatan awam perlu memulakan program pembinaan keupayaan pada setiap masa sebagai persiapan melahirkan pemimpin yang cemerlang.

"Kerajaan mesti boleh melahirkan pemimpin yang mampu memberikan khidmat kepada masyarakat, berkongsi pengalaman mereka dengan orang ramai dan terus belajar antara satu sama lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa membentuk seseorang pemimpin tidak bermakna memberikan kuasa kepada individu kerana kuasa sahaja tidak menjadikan seseorang itu pemimpin.

"Apa yang orang ramai mahu ada pada pemimpin hari ini ialah sifat rendah diri, berani (moral dan peribadi), prihatin, integriti dan ketabahan. Nilai-nilai ini akan membuatkan orang ramai percaya kepada pemimpin mereka," katanya.


Sunday, August 3, 2008

"Rebut jawatan seperti dunia akan kiamat esok hari", Syed Hamid

Oleh Bernama
Isnin, 04 Ogos 2008

KOTA TINGGI: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar mendakwa pelbagai cara digunakan di dalam pertandingan sengit merebut jawatan di dalam parti pada masa ini, termasuk politik wang, maki-hamun dan ancaman.

Syed Hamid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata perkara-perkara negatif yang berlaku pada ketika ini diibaratkan seperti "penyakit barah" yang boleh menghancurkan Umno.

"Pertandingan kali ini sengit, nampak bersungguh-sungguh ada kemaruk. Kita hendak berperang sesama sendiri, bukan sahaja politik wang tetapi ada juga yang menggunakan pengaruh luar dan ancaman.

"Kita sama kita tak betul, maki-hamun dan jemput orang luar untuk maki-hamun. Tak pernah saya lihat (sebelum ini)," dakwa Syed Hamid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Felda Aping Barat di sini.

Syed Hamid, yang juga Anggota Parlimen Kota Tinggi, berkata pertandingan yang amat sengit bagi merebut jawatan parti pada ketika ini boleh diibaratkan seolah-olah "dunia akan kiamat esok hari" akan hanya menyukarkan usaha menyatupadukan parti.

"Saya takut bila sudah habis pemilihan, macam mana kita hendak baikkan kedua-dua pihak?" katanya.

Menurutnya sebarang pertandingan di dalam parti perlu dijalankan di dalam suasana seperti di dalam sebuah keluarga untuk memastikan perpaduan Umno tidak terjejas.

"Apa sekalipun yang kita buat (di dalam pertandingan Umno), perkara yang perlu kita pastikan adalah Umno itu menang pada akhirnya. Janganlah kita anggap pertandingan itu seperti dunia akan kiamat, seperti esok tiada lagi," katanya.

Tingkah laku anggota dan pemimpin Umno ketika menghadapi musim pemilihan kali ini, katanya sedang diperhatikan oleh pihak ketiga dan masyarakat umum.