Showing posts with label parti. Show all posts
Showing posts with label parti. Show all posts

Monday, August 4, 2008

Rafidah letak jawatan

Oleh Utusan
Isnin, 04 Ogos 2008

KL: Tan Sri Rafidah Aziz mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pertengahan tahun depan.

``Saya akan serahkan jawatan ini kepada Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Wanita UMNO Bersama Pemimpin yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Rafidah berkata, keputusan itu adalah bagi memastikan tiada pergolakan dan perpecahan dalam sayap parti itu pada pemilihan Disember ini.

``Pilihan ini dibuat bagi memastikan tiada pecah belah dan berpuak-puak dalam parti seperti yang berlaku satu ketika dahulu sehingga menyebabkan pihak pembangkang mengambil kesempatan,’’ katanya


Sunday, August 3, 2008

"Rebut jawatan seperti dunia akan kiamat esok hari", Syed Hamid

Oleh Bernama
Isnin, 04 Ogos 2008

KOTA TINGGI: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar mendakwa pelbagai cara digunakan di dalam pertandingan sengit merebut jawatan di dalam parti pada masa ini, termasuk politik wang, maki-hamun dan ancaman.

Syed Hamid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata perkara-perkara negatif yang berlaku pada ketika ini diibaratkan seperti "penyakit barah" yang boleh menghancurkan Umno.

"Pertandingan kali ini sengit, nampak bersungguh-sungguh ada kemaruk. Kita hendak berperang sesama sendiri, bukan sahaja politik wang tetapi ada juga yang menggunakan pengaruh luar dan ancaman.

"Kita sama kita tak betul, maki-hamun dan jemput orang luar untuk maki-hamun. Tak pernah saya lihat (sebelum ini)," dakwa Syed Hamid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Felda Aping Barat di sini.

Syed Hamid, yang juga Anggota Parlimen Kota Tinggi, berkata pertandingan yang amat sengit bagi merebut jawatan parti pada ketika ini boleh diibaratkan seolah-olah "dunia akan kiamat esok hari" akan hanya menyukarkan usaha menyatupadukan parti.

"Saya takut bila sudah habis pemilihan, macam mana kita hendak baikkan kedua-dua pihak?" katanya.

Menurutnya sebarang pertandingan di dalam parti perlu dijalankan di dalam suasana seperti di dalam sebuah keluarga untuk memastikan perpaduan Umno tidak terjejas.

"Apa sekalipun yang kita buat (di dalam pertandingan Umno), perkara yang perlu kita pastikan adalah Umno itu menang pada akhirnya. Janganlah kita anggap pertandingan itu seperti dunia akan kiamat, seperti esok tiada lagi," katanya.

Tingkah laku anggota dan pemimpin Umno ketika menghadapi musim pemilihan kali ini, katanya sedang diperhatikan oleh pihak ketiga dan masyarakat umum.