Showing posts with label pas. Show all posts
Showing posts with label pas. Show all posts

Wednesday, September 10, 2008

"20 haribulan juga ada sejarah", Anwar

Oleh KLPos, Mstar
10 September 2008

KETIKA tinggal kurang seminggu, Pakatan Rakyat mengubah tarikh mencapai sasaran membentuk kerajaan persekutuan? Jawapannya nampak menjurus ke arah itu berdasarkan kenyataan terbaru Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Kata beliau, sasaran 16 September bagi membentuk kerajaan yang baru boleh dianjak ke satu tarikh yang lain jika wujud masalah yang boleh menghalang proses peralihan kuasa seperti yang dirancang.

"Walaupun kita sudah ada sasaran iaitu pada 16 September, tapi gambaran setakat ini hasil perbincangan bersama PAS dan DAP, tarikh itu boleh kita anjak... kalau tak jadi 16 haribulan mungkin 20 haribulan kerana tarikh itu juga ada sejarah.


"Tapi saya fikir dalam keadaan sekarang adalah susah bagi mereka (kerajaan Barisan Nasional) untuk gagalkan kehendak dan kebangkitan rakyat," kata beliau semasa menyampaikan ucapan selepas majlis solat tarawih dan hajat di rumahnya di Bukit Segambut malam tadi.

Anwar menyatakan demikian sehari selepas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan hampir tiga jam pagi kelmarin susulan pertemuan informal lebih dua jam di ibu negara Ahad lalu.

Ketika ditemui semalam, beliau menjelaskan bahawa perancangan untuk membentuk kerajaan berjalan dengan lancar.setakat ini.

Bagaimanapun malam tadi Anwar berkata, perbincangan secara terpeinci akan diadakan bersama pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP bagi meneliti sebarang risiko yang bakal terjadi.

"Esok saya perlu ikuti prosedur mahkamah. Jadi kemungkinan pada sebelah petangnya atau hari berikutnya kita akan bermesyuarat mengenai persediaan kita menghadapi 16 September," katanya.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri akan muncul di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini esok bagi mendengar sebutan semula kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 23.

Anwar mengumumkan pelan sasaran 16 September enam bulan lalu iaitu sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Tambah beliau, jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat sudah mencukupi.

"Jumlah mereka kita sudah ada. Tapi disebabkan mereka pergi lawatan 'menghayati Ramadan' di Taiwan kita perlu tunggu dahulu," katanya.

Menurut beliau lagi. ada antara Ahli Parlimen BN yang menyertai lawatan tersebut telah berjanji kepadanya untuk meneruskan matlamat mereka meninggalkan BN.

"Saya ada dapat maklumat bahawa mereka yang pergi itu tidak dibenarkan pulang sebelum 16 September bagi mengahalang sasaran kita," katanya.

Dalam pada itu KLpos sebelum ini melaporkan berita 'terbalik kot' yang mendakwa dua orang MP Pakatan akan melompat ke Umno.

Khabarnya wakil rakyat ini mewakili parlimen di Kelantan. Satu dari PAS dan satu dari PKR.

Menurut blogger 'Kapak Jangak' yang dikendalikan oleh Ramli Abdul Halim, dua ahli parlimen berkenaan akan sertai Umno dan pengisytiharan penyertaan mereka akan dibuat pada 1 Oktober nanti.

Beliau yang juga penerbit akhbar Mingguan Wasilah mendakwa menerima satu panggilan yang memberikan maklumat terpeinci mengenai isu lompat tersebut.

"Pemanggil berkenaan memberikan nama dan biodata penuh kedua-dua ahli parlimen itu dengan seorang daripadanya adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun saya tidak akan menyiarkan nama mereka berdua buat masa ini", dakwa Ramli dalam blognya.

"Faktor yang mendorong kedua-duanya memilih menyertai Umno adalah bagi memastikan kedudukan kerajaan Umno/BN di pusat terus kukuh dan sekaligus untuk menidakkan dakwaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan yang ada akan bertukar tangan kepada PKR dan beliau yang akan jadi perdana menteri", tambah beliau lagi.

Ramli turut mendakwa pemanggil tersebut memberitahu tidak ada sebarang tawaran harga, jawatan atau pujuk rayu dari mana-mana pemimpin Umno negeri atau pusat yang menyebabkan mereka terdorong mahu menyertai Umno.

Sebaliknya keputusan itu dibuat atas pilihan sendiri demi masa depan agama, bangsa dan negara tercinta dan permohonan rasmi untuk menyertai Umno dikatakan telah pun dibuat dan keduanya kini menunggu keputusan sama ada permohonan mereka diterima atau ditolak.

"Dakwanya, selain dari kedua-duanya, beberapa orang ahli parlimen lain lagi, termasuk dari Pas akan turut sertai Umno, malah ada beberapa ahli dewan undangan negeri juga turut akan berbuat demikian", dakwa Ramli lagi didalam blog tersebut.

Sementara itu penulis politik terkenal Mohd Sayuti Omar yang mengulas isu ini didalam blognya Merah Tinta mendakwa alasan Ramli itu sedap didengar tetapi ada sedikit unsur retorik.

"Saya tidak perlu siasat mengenai laporan berkenaan. Sebagai seorang pengamal media dan menjadi penganalisa kecil politik, mudah saja untuk memberi gambaran atas laporan berkenaan.

Walaupun laporan itu tidak mustahil, tetapi apakah munasabah dalam keadaan semua orang bersemangat tinggi untuk melihat BN jatuh tiba-tiba ada orang seperti dua ahli Parlimen itu hendak menyertai Umno", kata Sayuti didalam blognya.

Sayuti turut menyangkal laporan tersebut dengan memberi alasan langkah menyertai Umno ketika ini adalah langkah songsang dan hanya mereka yang kabur saja bersedia untuk mengikuti Umno.

"Umno dalam keadaan seperti hari ini saya tidak fikir ada orang ingin mencemarkan maruahnnya untuk bergelumang di dalam parti berkenaan yang disifatkan oleh Rais Yatim sebagai tidak berbudaya Melayu lagi itu. Saya rasakan kalau rakyat begitu tinggi semangat dan keazamannya hendak lihat BN jatuh, apatah lagi dengan ahli-ahli Parlimen. Mereka tentu lebih bersemangat lagi untuk melihat realiti itu.", tambah Sayuti lagi.

Beliau berpendapat orang yang memberi maklumat kepada Ramli ada agenda tersendiri. Mungkin beliau menggunakan ruang untuk mencuri tumpuan orang dan menimbulkan kegemparan kecil.

Di akhir tulisannya Sayuti tidak menolak kemungkinan pemberi maklumat kepada Ramli itu sudah pun menghubungi akhbar-akhbar dan media eletronik berkenaan.

Namun kerana kesahihannya dan nilai beritanya boleh diketawakan orang maka ia tidak disiarkan.


Sunday, September 7, 2008

Pengalaman pahit PAS bersama BN

Oleh Harakah,
8 September 2008

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai pengalaman 'pahit' apabila parti itu pernah dijatuhkan secara tidak demokratik oleh Parti Perikatan yang kini dikenali Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata kerajaan PAS yang memenangi Pilihan Raya Umum Pertama tahun 1959 pernah 'dijatuhkan' oleh parti Perikatan.

Katanya, pada waktu itu parti Perikatan hanya mempunyai tujuh kerusi tetapi telah berjaya mengemukakan usul undi tidak percaya tersebut.

Akhirnya, menurut Ustaz Abu Bakar usaha tersebut berjaya menjatuhkan kerajaan Pas Terengganu setelah mendapat sokongan dari tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti Negara yang dipercayai telah 'dibeli' pihak tertentu.

"Kita (PAS) ada pengalaman itu. Kerajaan PAS Terengganu tahun 1959 tidak dapat bertahan lama kerana pada 30 Oktober 1961, parti Perikatan telah membawa usul undi tidak percaya dan 'disokong' pula oleh tiga wakil parti Negara," jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan parti Perikatan atau Barisan Nasional (BN) sekarang berjaya memerintah Terengganu hingga hari ini kecuali pada tahun 1999-2004.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kuala Nerus menyelar pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan Barisan Nasional agar tidak bercakap soal demokrasi.

Ini kerana, katanya sejarah silam telah membuktikan mereka (BN) menggunakan cara yang sama bagi membentuk kerajaan di Terengganu pada waktu itu.

Menurut Ustaz Abu Bakar, bukan menjadi suatu masalah besar sekiranya Pakatan Rakyat mampu mengambil-alih kerajaan dengan cara yang hampir sama.

Katanya, tidak ada undang-undang yang menghalang seseorang ahli atau pemimpin parti politik keluar daripada parti bagi memilih parti lain yang lebih sesuai.

Monday, August 18, 2008

Muqabalah: "Kenapa UMNO tak mahu terima islam secara syariat", Nik Aziz

Oleh Utusan
Isnin, 18 Ogos 2008

IPOH: Pas akan terus memperkukuhkan pakatan pembangkang tetapi pada masa sama akan bermuqabalah dengan UMNO, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Pas akan bermuqabalah dengan UMNO kerana ingin bertanya kenapa ia tidak mahu terima Islam secara syariat.

``Kita mesti teguhkan pakatan. Bermuqabalah dengan UMNO sebab nak tanya dia kenapa tidak terima Islam, itu saja,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di sini hari ini.


"PAS ada ditawarkan jawatan penting", Nasharuddin

Oleh Mstar
Isnin, 18 Ogos 2008

IPOH: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendedahkan bahawa PAS pernah ditawar jawatan dalam kerajaan hingga peringkat kerajaan Pusat.

"Ya, PAS menerima tawaran untuk menubuhkan kerajaan bersama di Perak dan Selangor malah tawaran jawatan di kementerian," katanya kepada media selepas penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-54 di stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Namun katanya PAS telah menolak tawaran itu sejak pertemuan pertama beliau dan dua lagi wakil PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bersma Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Nasharuddin berkata soal pangkat dan jawatan bukan menjadi isu pertemuan beliau dan Abdullah itu.

"Soal pangkat tidak timbul kerana pertemuan itu bukan khusus kepada individu tetapi pada peringkat parti. Saya hanya mewakili parti, lagipun pada pertemuan pertama kami terus menolak tawaran itu," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan perbahasan oleh para perwakilan yang kebanyakannya menyentuh mengenai isu muzakarah PAS-Umno, beliau berkata perkara itu telah dijangkakan sejak awal lagi.

"Reaksi ini telah dijangka, malah saya jangkakan lebih lagi. Namun kita lihat ia dibangkitkan atas dasar sangsi kononya PAS ingin menyertai Barisan Nasional (BN) dan yang keduanya ialah kerana tamak kepada pangkat dan jawatan," katanya.

Bagaimanapun katanya perkara tersebut tiada dalam agenda pertemuan PAS dan Umno namun beliau berpuas hati kerana demokrasi dalam PAS membolehkan ahli untuk bebas bersuara dan bertanya kepada pemimpin tertinggi mengenai sebarang kesangsian.

Bagi beliau, isu ini telah selesai kerana Presiden dan semua pimpinan tertinggi telah memberi penjelasan yang jelas kepada semua perwakilan dan pemerhati yang hadir pada muktamar kali ini.

"Inilah objektif muktamar yang kita adakan. Selepas ini kita turun ke peringkat bawahan untuk menjelaskan kepada ahli mengenai Ucapan Dasar Presiden agar lebih difahami," katanya.

Nasharuddin berkata selepas pertemuan pertama itu beliau ada mengadakan dua lagi pertemuan dengan Abdullah di Parlimen.

"Pertemuan kedua adalah di Parlimen. Masa saya sedang minum, saya menerima pesanan bahawa Perdana Menteri ingin bertemu saya.

"Kemudian saya maklumkan perkara itu kepada Presiden dan beliau izinkannya. Namun pertemuan itu adalah pertemuan biasa tanpa sebarang tawaran," katanya.


Sunday, August 17, 2008

Muktamar: "Setuju teruskan muqabalah", PAS

Oleh Bernama
Isnin, 18 Ogos 2008

IPOH: Setelah tiga hari hangat membincangkan isu muqabalah antara PAS dan Umno, muktamar tahunan PAS ke-54 berakhir hari ini dengan keputusan tegas memberikan kepercayaan kepada barisan kepimpinan untuk meneruskan pertemuan bersemuka dengan Umno.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata para perwakilan telah bersetuju menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan bagi meneruskan muqabalah itu dengan cara yang terbaik sejajar dengan matlamat dan prinsip asal perjuangan Islam oleh parti itu.

Semasa menggulung perbahasan muktamar itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS melalui kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR) akan juga menjalankan kewajipannya melaksanakan hukum-hukum Islam mengikut bidang kuasa yang ada.

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa juga bersyukur isu muqabalah itu telah dapat diselesaikan dengan baik pada muktamar itu.

"Alhamdulillah, muktamar ini berjaya merungkai persoalan ahli akar umbi terhadap isu muzakarah ini," katanya ketika diminta menjelaskan sejauh mana penerimaan ahli parti terhadap penjelasan isu berkenaan.

Nasharudin berkata pertemuan itu adalah diketahui dan dipersetujui Majlis Syura Ulama parti itu.

Beliau berkata anggota yang anti-muqabalah yang sehingga hari ini tidak bersetuju dengan sebarang pertemuan dengan Umno, harus menerima keputusan bersama yang dibuat pimpinan tertinggi parti.

"Dalam PAS, kita amalkan demokrasi, mereka boleh memberikan pandangan mereka tetapi keputusan telah dibuat parti, bila dah ada keputusan apatah lagi keputusan di peringkat paling tinggi dalam parti iaitu muktamar, kita kena akur bersama," katanya.

Ditanya mengenai butiran perbincangan dengan Umno pada pertemuan yang diadakan sebelum ini, Timbalan Presiden PAS itu berkata parti itu tidak ditawarkan jawatan tertinggi kerajaan, Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dalam muzakarah dengan Umno itu.

Katanya pertemuan 'tidak rasmi' sebanyak tiga kali dengan Umno yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac itu juga tidak timbul tawaran jawatan untuk individu termasuk mereka yang terlibat secara langsung dalam pertemuan itu.

Katanya, anggota parti PAS termasuk ahli akar umbi dilihat sudah boleh menerima dan memahami setiap tindakan pimpinan parti itu dalam isu berkenaan.

"Isi pertemuan dengan Umno hanya berkisar kepada isu-isu kontemporari seperti hal berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Tidak ada agenda politik yang boleh dikaitkan dengan perkongsian kuasa dibincangkan," katanya.

Sementara itu ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menyifatkan kesangsian ahli dan pimpinan di peringkat akar umbi mengenai isu muqabalah dengan Umno berjaya diselesaikan dengan baik dalam muktamar tersebut.

"Selesai...tidak ada apa-apa masalah. Ia telah terjawab. Keterbukaan pemimpin untuk terima pandangan yang kritikal dan kebijaksanaan mereka telah berjaya selesaikan banyak persoalan yang tidak terjawab sebelum ini," katanya.

Beliau juga menafikan wujud perpecahan dalaman parti akibat isu berkenaan malah mengibaratkannya sebagai "kocakan air dalam cawan sahaja."

Pada muktamar ini, PAS juga menekankan mengenai pentingnya parti itu dalam PR sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam.

Perwakilan PAS kawasan Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menegaskan perkara ini semasa mengambil bahagian dalam usul memperkasakan Pakatan Rakyat berkata kedudukan PAS dalam pakatan itu berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP adalah penting dan istimewa sebagai parti yang memperjuangkan Islam di negara ini.

"Kita memperjuangkan Islam dengan menolak rasuah, penyelewengan, penipuan dan kezaliman...Islam yang diperjuangkan oleh Barisan Nasional (BN) pula menghalang bukan Islam daripada memahami apa itu Islam malah lebih teruk lagi menghalang perjuangan Islam," katanya ketika menyokong usul memperkasakan pakatan pembangkang itu.

Seorang lagi perwakilan berkata kerajaan campuran di Perak antara PAS, DAP dan PKR merupakan satu contoh pentadbiran masyarakat majmuk yang sangat relevan dan terbaik bagi pakatan pembangkang.

Wakil PAS kawasan Tambun, Dr Khairudin Abdul Malik berkata menerusi hubungan baik antara pakatan pembangkang, kerajaan negeri yang diketuai PAS begitu mudah menjalankan pentadbiran.

"Kita hanya ada enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi DUN di Perak. Bagaimanapun adalah sesuatu keajaiban apabila pemimpin PAS dipilih untuk menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri," katanya.

Beliau juga berkata PAS perlu terus berusaha untuk menambahkan jumlah ahli termasuk daripada kalangan golongan India dan Cina Muslim selain Muslim dari suku kaum lain seperti Kadazan.


Friday, August 8, 2008

Raja Nazrin terima kunjungan hormat delegasi PAS

Oleh Bernama
Jumaat, 08 Ogos 2008

KL: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi PAS yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub di Istana Perak, Bukit Persekutuan dekat sini, Khamis.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, baginda dan delegasi PAS membincangkan beberapa perkara berkaitan negara termasuk peranan Majlis Raja-raja serta isu berkaitan negara dan rakyat.

"Perbincangan adalah berkisar kepada bagaimana seharusnya peranan yang dimainkan oleh Majlis Raja-raja dan institusi di negara ini ke arah kebaikan semua rakyat.

"Tuanku amat gembira dengan kehadiran dan perbincangan yang diadakan hari ini. Dan kami mengharapkan agar pertemuan seperti ini akan diadakan pada masa akan datang," kata Salahuddin kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Salahuddin hadir bersama lima anggota Dewan Pemuda PAS terdiri daripada Setiausaha Ahmad Sabri Yusof, Penolong Setiausaha 1 Musaddak Ahmad, Bendahari Zaki Ibrahim, Ketua Penerangan Suhaizan Kayat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Norazli Musa.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.


Thursday, August 7, 2008

Akim nak umum calonnya 'last minute'

Oleh Bernama
Jumaat, 08 Ogos 2008

KUALA KRAI: Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), parti serpihan PAS yang akan turut bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang, akan mengumumkan nama calonnya pada 15 Ogos ini, sehari sebelum hari penamaan calon.

Presidennya Hanafi Mamat berkata beliau yakin calon Akim akan mendapat sokongan penduduk Permatang Pauh khususnya daripada kalangan penyokong PAS.

Akim yang ditubuhkan pada 1995 dan mendakwa mempunyai kira-kira 10,000 anggota di seluruh negara , pernah bertanding pada pilihan raya umum 1999 bagi kerusi Parlimen Pasir Puteh dan Kota Baharu tetapi tewas.

"Kita yakin penyokong PAS yang lama memahami hasrat Akim akan mengundi calon parti kami nanti," kata Hanafi.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.

Pengundian ialah pada 26 Ogos ini.

Di BUTTERWORTH, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Salleh Man berkata Akim tidak akan mendapat sokongan daripada anggota PAS Permatang Pauh pada pilihan raya kecil itu.

"Macam mana mereka dakwa boleh dapat sokongan di Permatang Pauh. Anggota PAS setia pada parti, dan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh masih kukuh," katanya.


PAS bantah forum 'Peluk Islam'!

Oleh Utusan
Jumaat, 08 Ogos 2008

KL: Pas membantah keras keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana jelas ia boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum di negara ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usaha Majlis Peguam itu yang hanya bersumberkan kepada fahaman sekular sudah tentu akan terseleweng daripada pemahaman sebenar mengenai Islam.

Keadaan tersebut jika dibiarkan, katanya, akan merugikan negara dan oleh itu demi kestabilan hubungan agama serta kaum, Pas menggesa pihak Majlis Peguam membatalkan forum berkenaan.

''Forum ini jika diteruskan mampu mencetuskan syak wasangka yang akhirnya boleh mengakibatkan berlaku ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara.

''Sekiranya ini yang berlaku, ia sudah pasti akan menjejaskan keharmonian negara dan akan merugikan semua pihak,'' kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan Forum Memeluk Islam pada 9 Ogos ini meskipun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran kepada majlis itu supaya tidak 'bermain api'.

Setiausahanya, Lim Chee Wee berkata, forum tersebut tidak sensitif kerana ia hanya bertujuan untuk mengkaji kesan yang dihadapi pasangan dan anak mereka apabila salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam.

Rentetan daripada kenyataan Syed Hamid itu, pelbagai pihak mendesak Majlis Peguam supaya membatalkan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Abdul Hadi berkata, Pas mengakui mengenai hak kebebasan bersuara iaitu memberikan jaminan kepada semua pihak untuk berdialog dan berbincang berhubung isu-isu kepentingan umum.

''Namun, ia tidak boleh menyentuh isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam. Agama Islam adalah sesuatu yang mutlak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan dipelihara oleh perlembagaan negeri-negeri,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Islam adalah agama yang menjanjikan kebaikan buat semua pihak dan sehubungan itu, sebarang perbincangan mengenainya perlu melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan kuasa.

Kata Abdul Hadi, Islam berdiri berasaskan kepada sumber-sumbernya sendiri dan setiap perbincangan wajib berteraskan sumber ilmu serta hukum yang telah ditetapkan.

''Atas asas ini juga, Pas berpandangan inisiatif Majlis Peguam yang jelas bersumberkan fahaman sekular hanya akan menyebabkan penyelewengan pemahaman terhadap Islam.

''Yang jelas, ia boleh mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak,'' katanya.

PUM beri amaran

Penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam oleh Majlis Peguam Sabtu ini terus menerima bantahan apabila Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengeluarkan amaran supaya program tersebut dibatalkan.

Setiausaha Agungnya, Dr. Roslan Mohd. Nor menegaskan, forum itu jelas mempunyai agenda untuk mempertikaikan kedudukan Islam seperti mana termaktub dalam Artikel 121 (1A), Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, langkah majlis itu mahu membahaskan hukum-hukum Islam, sistem perundangan dan hak-hak orang Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa serta dikendalikan secara bertanggungjawab pasti akan mencetuskan kekeliruan terhadap Islam.

''PUM berpandangan tindakan berkenaan adalah suatu usaha terancang yang disusun oleh pihak tertentu secara berterusan untuk mempertikaikan hak-hak yang terkandung di dalam Perlembagaan terhadap Islam.

''Sehubungan itu, PUM memberi amaran agar Majlis Peguam menghentikan penganjuran forum berkenaan atau menghadapi tindakan penentangan serius oleh umat Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pelbagai pihak mendesak Majlis Peguam supaya membatalkan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Reaksi itu susulan amaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar terhadap Majlis Peguam semalam supaya badan itu tidak 'bermain api' dengan menganjurkan forum awam bertajuk Memeluk Islam pada Sabtu ini.

Forum itu dijangka menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Forum itu juga akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini.


Sunday, August 3, 2008

"PKR tidak ambil mudah PRK(Pilihan Raya Kecil)", Anwar

Oleh Bernama
Isnin, 04 Ogos 2008

KLANG: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu tidak mengambil mudah pilihan raya kecil Permatang Pauh yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Katanya naib presiden PKR Mohamed Azmin Ali telah menemui jentera pilihan raya parti di Permatang Pauh semalam untuk memantau persediaan menghadapi pilihan raya kecil itu dan juga mengadakan perbincangan dengan parti komponen Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian pada persidangan akhbar selepas menerima borang penyertaan sebagai ahli baru PKR termasuk daripada bekas timbalan ketua Wanita MCA Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan bagi menyambut ulang tahun kelima Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia bergabung untuk menubuhkan Parti Keadilan Rakyat, di sini Ahad.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai anggota parlimen kawasan itu Khamis lepas bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada pilihan raya kecil.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penaman calon dan mengundi.

Dalam keadaan biasa, Anwar berkata beliau tidak menjangka akan menghadapi tentangan sengit daripada calon Barisan Nasional (BN) kerana Permatang Pauh ialah kubunya sejak beliau dalam Umno dan Dr Wan Azizah mempunyai rekod yang baik sejak 10 tahun menjadi menjadi anggota Parlimen serta hubungan baik dengan anggota parti peringkat akar umbi.

"Datuk Husam Musa akan mewakili kepimpinan Pas malam ini di Permatang Pauh dan Ketua Menteri (Lim) Guan Eng akan menggerakkan penyokongnya dan kita tidak mengambil mudah dalam menghadapi Umno dan BN," katanya.

Ditanya sama ada pilihan raya kecil ini suatu pembaziran wang rakyat dan Permatang Pauh dilihat di bawah kawalan beliau dan keluarganya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, Anwar berkata mereka mungkin tidak tahu sejarah bahawa sesetengah pemimpin negara bertanding di bekas kawasan pilihan raya bapanya yang dianggapnya tidak apa.

Ditanya jika beliau ditangkap dalam proses mengadakan pilihan raya kecil itu, katanya:"Pertama tidak ada asas, tidak ada sebab, tidak ada alasan untuk beliau ditangkap dan sudah tentu kita mencabar. Untuk parti, saya biarkan parti mengambil tindakan selanjutnya".

Anwar berkata jika beliau ditangkap ia bukan kerana fakta dan undang-undang tetapi berdasarkan pada alasan politik.

Beliau juga berkata PKR, DAP dan Pas akan bermesyuarat minggu depan untuk memutuskan pengganti Dr Wan Azizah sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jika kerajaan BN fikir pilihan raya kecil itu diadakan sebagai sesuatu pembaziran wang rakyat, ia hendaklah memberikan kemenangan kepada Anwar tanpa bertanding dan peruntukan untuk pilihan raya itu boleh digunakan bagi membangunkan ekonomi demi kebaikan rakyat.


"Lawan Tetap Lawan", Nazri Aziz

Oleh Bernama
Ahad, 03 Ogos 2008

KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) tidak akan memberikan kemenangan percuma kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh yang kerusinya telah dikosongkan oleh isteri beliau yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak bersetuju dengan saranan pihak di dalam BN yang berpendapat bahawa BN tidak perlu meletakkan calon untuk bertanding di Permatang Pauh.

"Kita lawan tetap lawan. Saya anak jantan, mesti lawan namun nak bagi percuma (menang) tidak ada dalam kamus saya. Peluang (tipis atau cerah) tak kira, lawan tetap lawan. Kalau kita tak lawan, mengiyakan bahawa dia (Anwar Ibrahim) layak (untuk menang)," katanya.

Mengenai isu persepakatan antara Umno dengan PAS, Nazri berkata beliau bersetuju dengan pendapat Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa agenda yang lebih penting bagi Umno sekarang ialah untuk menumpukan kepada usaha memperkuatkan parti.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini dilaporkan sebagai berkata meskipun usaha bekerjasama dengan PAS adalah baik khususnya dalam berkongsi idea untuk memperjuangkan soal-soal pokok kedua-dua parti, namun agenda yang lebih penting dalam Umno sekarang ialah untuk memastikan ia terus kuat.

PAS telah menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan BN berhubung penubuhan kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.