Oleh AFP, Bernama
Rabu, 30 Julai 2008
SA: Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea mengekalkan rekod tanpa kalah pada pusingan akhir Jelajah Asia apabila menumpaskan pasukan Malaysia XI 2-0 di Stadium Shah Alam di sini malam Selasa.
Walaupun berdepan dengan pasukan mantap dan terkemuka dari England itu, namun Malaysia tidak gentar dan mampu mengegarkan barisan pertahanan Chelsea sebaik sahaja wisel sepak mula ditiupkan.
Pemain negara Mohd Amirulhadi Zainal berjaya melepasi barisan pertahanan Chelsea dan melepaskan rembatan rendah seawal minit kelima tetapi tersasar.
Bermain di depan lebih 40,000 peminat termasuk ramai penyokong kelab Inggeris itu berpakaian jersi biru, Chelsea kemudian menguasai perlawanan dengan mempamerkan corak serangan.
Rentak perlawanan yang menghiburkan itu akhirnya membawa gol pembukaan pada minit ke-30 menerusi pemain Nicolas Anelka yang menyambut hantaran Frank Lampard sebelum melepaskan tendangan rendah, melepasi jangkauan penjaga gol negara Mohd Helmi Eliza Elias.
Selepas waktu rehat, persembahan Chelsea semakin menonjolkan dengan rentak pantas serta taktikal dengan jurulatih Felipe Scolari menurunkan pemain Ashley Cole.
Pada minit ke-52, Cole menyudahkan gol kedua Chelsea apabila beliau mengutip bola dari gerakan "set-piece" yang dilakukan oleh Lampard dan Florent Malouda untuk menewaskan Mohd Helmi.
Walaupun ketinggalan dua gol, pilihan Malaysia tidak kecewa dan mampu memberi saingan dengan beberapa serangan ke pintu gol Chelsea.
Malaysia memperoleh peluang terbaik pada minit ke-61 apabila penyerang Mohd Zaquan Adha Abdul Razak bersemuka dengan penjaga gol Petr Cech tetapi gagal menembusi gawang gol lawan.
Lampard, pemain tengah, dicalonkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Dalam Jelajah Asia, Chelsea menewaskan pasukan Guangzhou Pharmaceutical 4-0 di China Rabu lepas dan membelasah Chengdu Blades 7-0 di Macau Sabtu lepas.
Selepas ini, Chelsea akan berlepas ke Moscow untuk menentang kelab Russia Lokomotiv Moscow pada perlawanan persahabatan Jumaat ini.
Jurulatih pasukan Malaysia XI, B. Sathianathan, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menunjukkan semangat kental dan bersemangat menentang pasukan dari England itu.
No comments:
Post a Comment
Comment and Critique