Oleh Harian Metro
Khamis, 31 Julai 2008
DENGAN hanya bermodalkan sebuah kitab dan mas kahwin RM50, seorang ustaz menjerat seorang ibu tunggal sebelum mengahwininya menerusi upacara akad nikah pelik menggunakan wali dan saksi ghaib.
Sebelum proses pernikahan dijalankan, ustaz berusia 60-an itu berperanan 'dua dalam satu' kerana beliau bukan saja melakonkan watak sebagai 'tok kadi', malah turut 'mengakadkan' dirinya sendiri.
Selaku tok kadi merangkap pengantin lelaki, ustaz terbabit kemudian menikahkan dirinya sendiri dengan lafaz 'Aku nikahkan diriku dengan 'si polan binti si polan' dengan mas kahwinnya RM50 tunai' kepada pasangannya.
Ini dibalas pasangannya itu dengan lafaz 'Aku terima nikahnya'.
Bagi meyakinkan pasangannya bahawa akad nikah tersebut sah, ustaz itu kemudian menunjukkan sebuah kitab yang tidak diketahui asal usulnya, sekali gus mendakwa pernikahan itu sah mengikut hukum Islam.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Maimun itu berkata perkenalannya dengan ustaz terbabit berlaku secara tidak disengajakan ketika ingin mendapatkan khidmat kaunseling berhubung kes cerai fasakh terhadap bekas suaminya.
'Ketika itu saya menghadapi masalah rumah tangga dengan bekas suami pertama. Kes itu dirujuk kepada ustaz berkenaan dan dari situlah dia memberikan pandangan serta khidmat nasihat yang diperlukan,' katanya.
Menurutnya, pernikahan pelik itu berlaku pada 12 Mac 2003 dan beliau berpisah dengan ustaz terbabit pada 12 Jun lalu apabila lelaki itu 'menceraikannya' dengan talak satu.
Katanya, beliau terterkejut sebaik saja mendapat tahu pernikahannya dengan ustaz itu tidak sah mengikut hukum syarak, sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling pada 25 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment
Comment and Critique