Sunday, August 31, 2008

"16 September cuti umum", Guan Eng

Oleh Bernama
Isnin, 1 September 2008

PP: Kerajaan Pulau Pinang akan menimbang cadangan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 Sept setiap tahun dijadikan cuti umum untuk lima negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sebagai memperingati hari pembentukan Malaysia.

"Perkara ini akan dibincangkan dulu dengan exco kerajaan negeri kerana ia akan melibatkan operasi pihak industri di negeri ini," kata Ketua Menteri Lim Guan Eng kepada selepas pada ceramah umum mengenai 'Enzim Sisa Makanan Menyelamatkan Dunia Kita' di Pasar Awam Tanjung Bungah di sini hari ini.

Cadangan cuti umum untuk lima negeri Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan itu dibuat oleh Anwar pada majlis kesyukuran sempena kemenangan beliau pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lepas.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan cuti umum pada 26 Ogos lepas sempena pilihan raya kecil berkenaan.

"Kalau kita hendak ambil 16 Sept sebagai cuti umum mungkin pada tahun depan," kata Lim.

Beliau berkata kerajaan pusat sepatutnya menjadikan 16 Sept sebagai cuti umum.

Lim juga bersetuju dengan cadangan badan bukan kerajaan untuk melakukan eksperimen enzim sisa makanan di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

Beliau berkata enzim sisa makanan itu berupaya membersihkan kawasan dan sungai tercemar akibat pembuangan sampah isi rumah, kilang dan premis perniagaan.

Enzim yang dihasilkan dari bahan terbuang seperti kulit buah-buahan mampu menyahtoksin kotoran yang terkandung dalam air.

"Ia mampu menjaga ekosistem dan sekaligus memelihara alam sekitar kerana enzim ini diperbuat dari sisa bahan organik," katanya.


"Sekat Malaysia Today, bukan menapis", Syed Hamid

Oleh KLpos.com
Ahad, 31 Ogos 2008

KAJANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mempertahankan keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses laman web Malaysia Today, dengan berkata langkah itu bukan bertujuan menapis portal online itu.

Sebaliknya, tindakan itu bertujuan menghalang penyalahgunaan ruang siber untuk menyebarkan pembohongan, katanya ketika diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan telah memungkiri janji apabila campurtangan dalam keselamatan internet dengan menyekat blog.

"Saya fikir di sinilah kita perlu tahu batasan kita... mereka seharusnya melakukan penapisan sendiri dan lebih bertanggungjawab.


"Kalau anda bertindak melampaui batasan, ia mengakibatkan pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan.

Saya fikir negara lain akan turut mengambil tindakan tertentu kerana berasa bimbang sungguhpun dalam isu yang berbeza," katanya selepas menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan di Penjara Kajang di sini hari ini.

Dr Mahathir dalam catatan bertarikh 29 Ogos mendakwa apabila sesebuah kerajaan membuat janji kepada negara dan kemudian memungkirinya, ia bukan saja mengakibatkan kerajaan hilang kredibiliti tetapi juga sebarang rasa hormat yang mungkin ada pada rakyat.

Friday, August 29, 2008

Pengumuman: Pelajar UTP di tahan

Oleh Ahmad
Sabtu, 30 Ogos 2008

TRONOH: Seorang mahasiswi mengadu tidak dapat tidur dengan lena kepada rakan serumahnya. Sejurus selepas itu, rakan-rakannya dengan rasa bertanggungjawab menghantar beliau ke Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh yang terletak lebih 30 Kilometer dari kampus.

Selepas mengharungi beberapa buah lampu isyarat, beliau dan rakan-rakanya tiba di hospital, menurut doktor, beliau mempunyai masalah dengan apendiks dan sekarang sedang di tahan untuk di analisa samada perlu pembedahan atau hanya ubat luaran.

Rakan-rakan sekelasnya, sedang sibuk menguruskan kenderaan masing-masing untuk melawat beliau di Ipoh. "Semoga cepat sembuh dan banyakkan bersabar", kata salah seorang kawan sejurusan dengannya, faiz. Kepada rakan-rakan yang lain, penulis menyeru agar lebih ramai yang dapat melawat beliau di hospital pada hari ini.

Untuk pengetahuan semua, beliau ialah Nafisah bt Razak

Sehubungan dengan itu, penduduk sekitar Tronoh akan mengorbankan seekor lembu di sebelah gelanggang tenis kampus pada esok hari (Ahad), jam 8.30 pagi. Semua pelajar lelaki kampus di jemput hadir, untuk maklumat lanjut sila hubungi Alizul di talian +60135080016.

Tuesday, August 26, 2008

"PKR tidak menang, BN yang kalah", Mahathir

Oleh Bernama
Rabu, 27 Ogos 2008

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sangsi yang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri akan datang walaupun memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam.

Bekas perdana menteri itu yakin Anwar tidak akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 30 anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) untuk berpaling tadah menyertai pembangkang untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

"Beliau (Anwar) mungkin fikir yang beliau boleh membeli mereka tetapi pembida lain mungkin mempunyai lebih banyak wang," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas kemasukan semula Anwar ke Parlimen selepas menewaskan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya kerajaan perlu mengambil perhatian mesej yang diberikan oleh pengundi pada kali ini, lima bulan selepas pilihan raya umum.

"Sebenarnya Parti Keadilan Rakyat tidak menang dalam pilihan raya kecil itu tetapi BN yang kalah dalam pilihan raya kecil itu," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau bimbang kemerosotan populariti BN dalam jangka masa lima bulan selepas pilihan raya umum bukan hanya berlaku di Permatang Pauh sahaja tetapi satu trend di kawasan lain juga.

Beliau mengulangi gesaannya supaya penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan berikutan kemerosotan sokongan kepada BN.


Monday, August 25, 2008

"BN tawar RM1000", Tian Chua

Oleh Darwis Said
Isnin, 25 Ogos 2008

BEBERAPA pengundi didakwa cuba dipikat dengan ganjaran wang di sekurang-kurangnya empat kedai kopi di seluruh kawasan undi Permatang Pauh.

Ini bagi membantu 'pihak lawan' mengurangkan jumlah undi majoriti yang bakal diraih calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika beliau memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh esok.

Jika mereka dapat membantu menggagalkan cita-cita Datuk Seri Anwar, maka ganjaran mereka akan lebih besar lagi, demikian pendedahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.


Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, berkata bakal pengundi ditawarkan RM200 jika Datuk Seri Anwar meraih majoriti kurang 10,000 undian, RM500 jika Penasihat PKR itu meraih majoriti kurang 5,000 undian dan RM1,000 jika Penasihat PKR itu kalah.

Beliau sudah ada bukti berhubung dakwaannya itu - satu senarai kira-kira 200 nama dan nombor kad pengenalan (I/C) yang dirampas daripada seorang lelaki di sebuah kedai kopi di Penanti kelmarin.

'Semua nama orang yang ditulis merupakan pengundi atau penduduk yang tidak mengundi. Mereka dijanjikan akan dapat RM200 kalau undi Anwar kurang daripada 10,000.

'Dan, kita dapati sekurang-kurangnya empat tempat. Kerja ini dibuat di kedai kopi tetapi atas keselamatan pemiliknya saya tidak dedahkan kepada pihak media identiti kedai-kedai kopi itu,' kata Tian Chua, pada satu sidang media di Yayasan Aman, dekat Pekan Penanti, Pulau Pinang.

'Namun, kita sudah catatkan nama kedai-kedai itu, dan ada kemungkinan kita akan ambil tindakan selanjutnya,' tegas beliau.

Menurut Tian Chua, perbuatan mereka itu seolah-olah seperti bertaruh 'tetapi tanpa transaksi wang'.

'Jadi, ini satu bentuk rasuah,' ujarnya sambil menambah bahawa para pengundi dijanjikan bayarannya sehari selepas keputusan pilihan raya diumumkan esok, dengan jumlahganjarannya akan bergantung kepada keputusannya.

'Jelas, ini adalah satu cara memujuk mereka (pengundi) kurangkan undi atau tidak mengundi Anwar Ibrahim dengan menawarkan sekurang-kurangnya RM200,' kata Tian Chua.

Menurutnya, kegiatan itu dijalankan ala sistem bookie secara terbuka oleh 'ejen-ejen Barisan Nasional (BN)' yang memegang jawatan dalam cawangan 'parti Cina' dalam BN.

'Ini satu pelanggaran undang-undang pilihan raya,' tegas Tian Chua.

Mantan timbalan perdana menteri Malaysia itu akan menentang Datuk Arif Shah Omar Shah, calon BN dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya. Seorang lagi calon, Hanafi Hamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), turut bertanding.


"Tidak perlu cuti umum untuk PRK", Najib

Oleh Bernama
Isnin, 25 Ogos 2008

PP: Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan Selasa ini sebagai cuti umum di negeri itu sempena pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini pertimbangan politik sebenarnya dan tidak pernah dalam sejarah kita perisytiharan cuti umum dibuat untuk pilihan raya kecil," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Mengkuang Titi di sini.

Beliau berkata tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng itu tidak perlu kerana ia hanya melibatkan pilihan raya kecil parlimen sahaja dan bukannya seluruh Pulau Pinang.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata cuti khas itu bagi membolehkan kesemua 58,459 pengundi berdaftar Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu.

Najib berkata tindakan kerajaan negeri memberi cuti itu juga boleh menjejaskan pengeluaran negeri dan menyebabkan banyak kerugian.

Sepatutnya pekerja boleh dibenarkan untuk keluar sejam dua bagi membolehkan mereka mengundi dan menyambung semula kerja selepas itu, katanya.

Mengenai pilihan raya kecil itu, Najib berkata BN akan berusaha untuk melakukan kejutan politik di Permatang Pauh pada Selasa ini.

Katanya semua orang menjangkakan bahawa calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang tetapi dengan kegigihan jentera BN tidak mustahil kemenangan itu berpihak kepada BN.

Beliau berkata untuk menjadi seorang pemimpin negara, calon mestilah mempunyai kredibiliti yang baik, bersih daripada sebarang salah laku, jujur dan bertanggungjawab kepada kawasan yang diwakilinya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan anggota parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu.

Anwar ditentang oleh calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).


Harga Minyak: "Naik banyak, turun sikit", Mahathir

Oleh Bernama
Isnin, 25 Ogos 2008

SERI ISKANDAR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata penurunan harga minyak yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa semalam sudah mencukupi untuk rakyat Malaysia.

Dr Mahathir yang juga penasihat Petronas berkata rakyat perlu memahami keadaan semasa pasaran minyak dan tidak perlu meminta harga komoditi itu diturunkan lagi.

"(Harga) sudah turun. Apa minta lagi. Cukuplah. Naik banyak, turun sikit. Kalau turun terlalu banyak, susah untuk dinaikkan semula," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Kelapan di sini hari ini.

Dr Mahathir ialah Canselor UTP.

Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penurunan harga runcit petrol sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 turun 22 sen daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

Ketika ditanya mengenai tindakan pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali yang mengajak Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin bersumpah, Dr Mahathir berkata mereka tidak sepatutnya mempermain-mainkan soal bersumpah.

"Bersumpah adalah sesuatu yang amat serius. Mereka cuma ingin bersumpah untuk saling menyalahkan antara satu sama lain. Saya pun boleh bersumpah dahulu kerana banyak tuduhan dibuat ke atas saya tetapi saya biarkan rakyat yang menentukan," katanya.


Saturday, August 23, 2008

Study group or stand alone

By Ahmad
Sunday, 24 August 2008

TRONOH: A university life is never a miles away from lectures, assignments, quizes, tests, reports, presentations, field trip and final exams! There, I spit it all out. Beyond that, there are times that we feel as if the time we had is not enough to cater our daily routines. That is why the term 'study group' come into picture.

1. THE RECIPE

Either we like it or not, this method seems to fit into our priorities of to-do list. In order to came up with an active study group( who would'nt), the first checklist that we must have is of course the least piece of paper that would cross our mind; course outline. With a little bit of smoke from our 'sky rocketing' textbook, and then 'puff' there we have it,our very own subject overview!. Subject overview is essential in getting the overall picture of the subject(not a chapter, read: subject).

What is more interesting is from that subject overview, you can manage to interpret that not all chapters in the textbook are 'standalone'. They are actually inter-related with its past and present chapter. Therefore, we can group that chapters under one category in the subject overview. That is why any book has its table of content, so that readers could understand the flow of the book.

After we are done with the subject overview, bring in the objective of each category. It would not hurt if you bring along past final exams question as it usually ask about the objective after all.

2. WHO'S THE BOSS

In any organization, clubs or even secret society has its boss. So does in study group! The boss is the one who controls and stick the team together, he is the one who is going to identify the subject overview and its relation with other chapters together with their respective team members. He or she is not going to give instruction such as "Peter, you are going to summarize chapter 1 and Nathan are going to be in charge on chapter 2", That is not study group, it is just simply read and read it out loud competition! Never (I repeat never) start a group discussion with that summary thing.

A leader has to understand the overview of the subject and assign one or two person (depending on how long the category is covered in the course outline) to be the person in charge of one category. A category could be two or three inter-related chapters and that assigned person may not necessarily be the one experts on that subject ( to all group leaders please remember this point).

3. DICIPLINE

Short and precise (because I know you heard it plenty of time before), do what your boss told you to do e.g. reading before hand and not to loiter around off the discussion topic too long (sometimes is OK, leader please control your group!)

4. RESPONSIBILITY

Everyone is responsible to themselves, do not expect an 'A' just because you joined a study group and get feed from your friends. every group members are responsible to read about the subject before hand.

No reading means no study group! And one more thing to be reminded is that, even if you have done the subject overview, you still needs to read before class (subject overview are intended to get the inter-relation between chapters) so that your brain is not shocked by the new topic it learn.

5. TIME FRAME

Do not laugh if I share with you that an active group discussion could exceed one or two hours easily with still some point or topic that has not been discussed. You would not feel it as too long or a burden if you have that self belonging to that group.

The most important topic to discuss about is, firstly, start with the objective that we do not understand (45 mins), secondly, what we have understand (30 mins), thirdly past exams question (45 mins or less)

6. THE DON'TS

a. NOT, forget and/or busy (busy people always have time) to read before hand
b. KEEP the subject overview in a nice quaint little space such as closet, pile of papers for safe keeping (too beautiful to use)
c. WANDERING your mind away from topic discussed (see no. 3)
d. NO question asked!

This article is based on my experience, my friends experience, my seniors all together.

Friday, August 22, 2008

Diesel turun 8sen/liter, harga barang?

Oleh Bernama
Sabtu, 23 Ogos 2008

PUTRAJAYA: Penurunan harga runcit petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan hari ini bukan satu gimik politik dan tiada kaitan dengan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

"Kalau tidak ada pilihan raya kecil itu pun kerajaan tetap akan umumkan penurunan harga minyak malah kerajaan tidak dipengaruhi dengan apa yang berlaku di Permatang Pauh.


"Kita ikut apa yang kita telah putuskan dulu, harga runcit petrol dan diesel akan disemak setiap bulan dan formula yang kerajaan umum kalau ada penurunan yang berkesan tentunya kerajaan berminat untuk meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

Harga runcit diesel pula akan dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter mulai esok.

Ditanya sama ada akan terdapat lagi perubahan harga petrol dan diesel pada September depan, Shahrir berkata kaedah pelarasan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah buat pertama kali dan ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

"Memang kerajaan kalau boleh setiap masa nak sampaikan faedah penurunan harga minyak kepada rakyat, tetapi kita kena ambil pendekatan yang sesuai untuk semua rakyat dan juga industri petroleum," katanya.

Terdahulu, Shahrir berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh Januari hingga Julai meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 109.8 berbanding dengan 105.2 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata kenaikan paling ketara ialah indeks makanan dan minuman bukan alkohol iaitu sebanyak 6.9 peratus, pengangkutan (6.7 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain (1.4 peratus).

"Diharapkan dengan penurunan harga petrol itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan inflasi," katanya.


Sudah jelas Pas sokong Arif atau Anwar

Oleh Mstar
Sabtu, 23 Ogos 2008

PP: "Penyokong-penyokong PAS sudah mula berjauhan daripada PKR (di Permatang Pauh). Benar?" Ini antara kandungan mesej SMS diterima awal pagi semalam.

Apakah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat sebagai parti 'pilihan' berbanding Barisan Nasional (BN) akan memperoleh sokongan sepenuhnya dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebagaimana diperoleh 8 Mac lalu.

Calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah ketika diajukan perkara ini berkata, pihaknya ada mendengar mengenainya.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud petanda bahawa adanya sokongan daripada Pakatan Rakyat yang beralih kepada BN sejak beberapa hari yang lalu ekoran kempen tujuh strategi yang dilakukan oleh pihaknya.

Sehubungan itu beliau yakin lebih ramai penyokong Pakatan Rakyat, yang mengundi pembangkang lima bulan lalu, akan beralih kepada BN menjelang hari pengundian Selasa ini.

Bagi memperoleh peralihan sokongan itu berkembang, Arif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya mahu mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya yang mewakili kawasan Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman.

Permatang Pasir, Seberang Jaya dan Penanti merupakan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Permatang Pasir.

Hamdan merupakan wakil PAS manakala Penanti dimenangi PKR dalam pilian raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Rancangan Arif Shah ialah mengadakan satu bentuk 'kerjasama' dengan wakil wakyat PAS itu - memperoleh sokongan dan membawa pembangunan ke kawasan tersebut atas kapasiti (jika) dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimana pula dengan pendirian wakil rakyat PAS berkenaan dalam perkara ini?

Semasa melangkah ke pusat khidmat Hamdan di Permatang Pasir menunjukkan penyokong-penyokong PAS masih berpegang teguh dengan pendirian untuk menyokong calon PKR. Mereka aktif untuk menguruskan kempen mencari sokongan.

Ketua kumpulan peraih undi Permatang Pauh, Salmah Jaafar yang baru pulang daripada meraih undi percaya bahawa 80 peratus pengundinya akan mengundi PKR.

"Daripada tinjauan kami, 80:20 peratus sokongan, 80 peratus akan menyokong calon Pakatan Rakyat. Ini pasti. Berdasarkan tinjauan kami trend pilihan raya umum akan berulang," kata beliau yang mengaku isu Saiful tidak banyak mengubah sokongan.

"Selagi pemimpin PAS meminta kami menyokong dan mengundi PKR", pengundi-pengundi PAS dari Permatang Pasir akan mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata beliau.

Hamdan juga berpegang kepada pendirian pucuk kepimpinan yang telah meminta supaya memberikan undi kepada Anwar.

Di pejabatnya segala persiapan untuk menghadapi hari pengundian sudah berjalan lancar. Fail-fail yang diisikan dengan kalkulator dan segala dokumen berkaitan serta pas masuk pusat pengundian bagi ejen pekerja sudah diaturkan. Ini petanda sokongan padu PAS?

Hamdan, ADUN sejak 1999 berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengadakan perundingan atau perbincangan dengan Arif Shah pada waktu ini.

"Ini waktu peperangan (pertandingan), mana boleh diadakan perundingan," kata beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Permatang Pauh sambil mengakui Arif Shah juga kawannya.

Kira-kira 30 peratus pengundi di Permatang Pauh terdiri daripada penyokong PAS. Bermakna satu pertiga pengundi ialah ahli PAS.

Dari segi pecahan, Permatang Pasir terdiri daripada 20,350 pengundi; Penanti (15,421) dan Seberang Jaya (22,698).

PKR masih yakin bahawa pihaknya akan menerima sokongan bulat dan menyeluruh daripada PAS, kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi mStar Online.

"Sehingga pagi ini kami masih menerima sokongan padu, tiada petanda sedemikian (penyokong PAS mengalihkan sokongan)," daripada PKR, kata beliau.

"Malah kami mengadakan mesyuarat setiap malam dengan dihadiri oleh wakil-wakil PAS," katanya yang yakin dengan sokongan rakan mereka memandangkan ahli-ahli PAS "mempunyai disiplin mengikut arahan atau keputusan dibuat pucuk kepimpinan mereka."

Hari ini kempen masuk hari ketujuh dengan tinggal tiga hari pengundi Permatang Pauh akan menentukan Ahli Parlimen yang baru.

Setakat hari ini nampaknya tiada banyak perubahan dalam arah aliran sokongan PAS kepada PKR, anggota Pakatan Rakyat.

Dalam kempennya malam tadi di Seberang Jaya, Anwar, turun gelanggang untuk merampas balik kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang dari 1982 hingga 1999, mengisytiharkan beliau menerima sokongan padu pucuk kepimpinan PAS dan DAP.

Kempen itu diadakan bagi mendapatkan sokongan masyarakat India dan Cina di Seberang Jaya.

Tetapi dalam tempoh kira-kira 40 jam lagi apa pun boleh berlaku. Inilah politik.

Kempen mula masuk fasa agresif sejak malam tadi.


Thursday, August 21, 2008

Usain Bolt, Manusia terpantas dunia

Oleh Reuters
Khamis, 21 Ogos 2008

BEIJING: Beliau melakukannya dalam acara pecut 100 meter. Semalam, beliau terus membuktikan kepantasannya dalam acara 200 meter lelaki.

Terbukti, Usain Bolt dari Jamaica benar-benar handal.

Beliau bukan sahaja memenangi acara 200 meter itu, bahkan catatan 19.30 saat yang dilakukannya turut memecahkan rekod dunia yang disandang oleh Michael Johnson dari Amerika Syarikat dengan catatan 19.32 dalam Sukan Olimpik Atlanta 1996.


Dengan kejayaan dalam kedua-dua acara ini, Bolt, 21 tahun, mengulangi kejayaan Carl Lewis dari Amerika yang membolot pingat dalam kedua-dua acara ini dalam Sukan Olimpik Los Angeles 1984.

Churandy Martina dari Belanda Antilles menduduk tempat kedua dengan catatan 19.82 saat, sementara Shawn Crawford dari Amerika di tempat ketiga dengan 19.96 saat.

Rakan senegara Crawford, Wallace Spearmon, dibatalkan kerana beliau berlari di luar lorongnya.


Wednesday, August 20, 2008

Chong Wei 'dilarikan' dari 'airport' Bayan Lepas

Oleh Bernama
Khamis, 21 Ogos 2008

PP: Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei terhutang budi kepada jurulatihnya, Misbun Sidek yang bukan sahaja mengorbankan masa dan tenaga malah keluarga semata-mata untuk memberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan kejayaannya di Sukan Olimpik Beijing.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih saya (Misbun) yang bekerja keras menjaga saya biarpun isterinya masuk hospital semasa berlangsungnya Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita semasa majlis ramah mesra di Dewan Badminton Berapit di sini hari ini.

Chong Wei, 26, yang bakal dianugerahi gelaran “Datuk” berkata jurulatihnya itu sentiasa berada di sisinya untuk menyokongnya tanpa mengira penat lelah.

Atlet yang dibesarkan di Bukit Mertajam itu menyertai majlis ramah mesra di dewan tempatnya berlatih semasa awal zaman persekolahan untuk berkongsi kejayaan bersama penduduk kampungnya.

Beliau menerima insentif RM300,000 daripada kerajaan Pusat malam ini dan pencen RM3,000 bermula 1 September selepas berjaya membawa pingat perak pertama negara bagi acara perseorangan lelaki.

Biarpun Chong Wei tumpas di tangan pemain nombor satu dunia, Lin Dan pada perlawanan Ahad lepas, Chong Wei mencipta sejarah dengan menjadi pemain perseorangan pertama negara yang memasuki perlawanan akhir pada Sukan Olimpik.

Pada perlawanan yang mengambil masa 39 minit itu, Chong Wei tumpas 12-21, 8-21.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri percaya pangkat dan wang ringgit yang diterima Chong Wei tidak akan menyebabkan pemain itu hilang fokus pada badminton.

“Saya mengenali Chong Wei, beliau seorang yang patuh dan bersemangat tinggi. Saya percaya dia tidak akan ’rosak’ seperti juga ratu skuasy negara kita, Nicol David selama ini,” katanya.

Mengenai dakwaan ada pihak ’melarikan’ Chong Wei daripada disambut oleh kerajaan negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas hari ini, beliau menjelaskan pihaknya tidak dimaklumkan langsung mengenai sambutan itu.

“Kami tidak tahu menahu adanya sambutan itu di lapangan terbang dan kenapa pihak tersebut tidak memaklumkan kepada kami tentang sambutan itu? Sebenarnya kami sudah sampai lebih awal dan yang penting Chong Wei telah selamat sampai ke sini untuk bertemu penduduk kampungnya,” katanya.

Beliau berkata Chong Wei adalah milik semua orang kerana beliau bertanding mewakili negara.


Lim VS Koh: Isu seleweng tanah 9 juta

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini membidas bekas ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mengaitkan bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes kegagalan kerajaan negeri dahulu menuntut baki bayaran penjualan tanah sebanyak RM9 juta dari sebuah syarikat di Pulau Jerejak.

Katanya, Koh kini cuba mengaitkan pihak lain sedangkan beliau (Lim) mempunyai bukti bahawa bekas ketua menteri itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk mendapatkan semula bayaran daripada syarikat itu walaupun selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan dipenjarakan.

Beliau berkata, siasatan mendapati bekas setiausaha sulit menteri kewangan, Anuar Shaari pernah menghantar sepucuk surat bertarikh 22 Mei 1998 kepada Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Lim berkata surat itu meminta PDC meneliti dan memaklumkan kepada kementerian mengenai cadangan syarikat berkenaan walaupun tempoh yang diberikan untuk pembayaran adalah selama enam tahun.

Katanya, malangnya Koh tidak mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat yang membeli tanah di Pulau Jerejak itu dengan harga RM29 juta dan tidak membayar baki RM9 juta sehingga sekarang.

Lim berkata, beliau terpaksa mendedahkan surat itu kepada media sebagai menyahut cabaran Koh yang mengaitkan kononnya tindakan beliau adalah atas arahan Anwar yang juga menteri kewangan ketika itu.

Esok Lim dan Koh akan berdebat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur mengenai isu penyelewengan tanah di Pulau Pinang.


'Datuk' Lee Chong Wei

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Jaguh badminton negara Lee Chong Wei akan bergelar Datuk pada 30 Ogos ini apabila dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) oleh kerajaan Pulau Pinang yang bangga dengan kejayaan beliau meraih pingat perak di Sukan Olimpik Beijing pada Ahad lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng memberitahu sidang akhbar di sini hari ini bahawa walaupun rakyat Malaysia kecewa Chong Wei gagal memenangi emas, namun kejayaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu telah membawa kegembiraan di peringkat negeri dan negara.

Katanya persetujuan untuk memberi anugerah itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas semalam.

"Kerajaan negeri berharap anugerah ini akan menjadi satu perangsang kepada Chong Wei untuk mencapai kejayaan lebih besar untuk negeri dan negara," kata Lim.

Dalam perlawanan akhir acara perseorangan, Chong Wei tewas 21-12, 21-8 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China, sekaligus menghampakan harapan rakyat Malaysia untuk melihat seorang atlit negara ini membawa pulang pingat emas pertama daripada Sukan Olimpik.

Chong Wei, 26, anak kelahiran Bukit Mertajam, adalah ahli sukan kedua dari Pulau Pinang yang mendapat gelaran Datuk dalam tempoh dua bulan ini, selepas jaguh skuasy dunia Nicol Ann David diberi gelaran serupa sempena ulang tahun hari jadi Yang Dipertua Negeri pada 12 Julai.


Harga Minyak: "Turun dulu, baru percaya", Anwar

Oleh Mstar
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan kenaikan harga minyak sebagai antara isu utama kempennya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh sejak Sabtu lalu menyambut baik pendirian kerajaan untuk menaikkan harga minyak dalam sehari dua ini.

Anwar yang bertanding untuk mendapatkan semula kerusi Permatang Pauh berkata, langkah itu adalah ekoran desakan pihaknya bahawa harga minyak mampu diturunkan.

Bagaimanapun kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pihaknya mahu melihat ia dilaksanakan secara rasmi.

"Kita kena tunggu Umno punya janji, kita kena tengok dulu. Kita tak boleh pegang sehingga dia (kerajaan) tunaikan janji.

"Selama ini dia (kerajaan) kata tidak boleh, kita bagi bukti boleh. Kalau dia turunkan baik, bermakna kerana desakan rakyat," kata beliau ketika bercakap kepada pemberita selepas menemui pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti di sini pagi ini.

Ketika berkempen di sini malam tadi dan kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan boleh menurunkan harga minyak dalam tempoh terdekat jika harga bahan bakar itu kekal pada AS$113 setong.

"Sehari dua ini, mungkin ada berita baik. Harga minyak boleh dikaji semula," kata Najib.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, tidak perlu menunggu Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bagi menurunkan harga minyak, sebaliknya kerajaan juga boleh berbuat demikian jika harga minyak kekal pada paras itu.

Dalam kempennya, Anwar berkata, pihaknya akan menurukan harga minyak daripada RM2.70 kepada RM2 seliter jika memerintah.

Ia menjadi modal kempen beliau dalam setiap ceramah umum dan perdananya di sini.

Kata Anwar, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mengatakan bahawa pihaknya tidak perlu menunggu sehingga Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

"Kalau begitu bagus... mereka memahami penderitaan dan kekecewaan yang dialami orang ramai disebabkan kenaikan harga minyak," katanya.


"Tiada katak di Sabah, Sarawak", Najib

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan bahawa terdapat 13 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya nak beritahu, tak ada sebenarnya (yang lompat parti)," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina di Kampung Sungai Lembu, di sini.

Isnin, Jeffrey semasa menyampaikan ceramah di Jalan Berapit mendakwa 13 anggota Parlimen dari Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Najib, yang juga Timbalan Pengerusi BN, turut menolak dakwaan terdapat anggota Parlimen BN dari Sarawak yang akan melompat parti.

"Tiada katak di Sabah dan tiada katak di Sarawak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan mana-mana pihak yang mendakwa terdapat anggota Parlimen BN yang akan bertindak keluar parti.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin menganggap dakwaan yang dibuat Jeffrey itu adalah sebagai "serkap jarang" dan peperangan psikologi yang dilancarkan bagi memancing undi di Permatang Pauh.

"Ini merupakan perang psikologi mendesak pengundi berpihak kepada mereka (PKR). Kalau betul ada, jangan hanya menyebut jumlahnya tetapi senaraikanlah juga nama-nama mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di jentera pilihan raya kecil Umno cawangan Taman Pauh di sini Selasa malam.

Katanya dakwaan itu yang melibatkan dua anggota Parlimen dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan bakinya wakil rakyat Umno adalah tidak akan berlaku.

"Saya tidak percaya ia akan menjadi kenyataan, itu adalah isyarat untuk mengelirukan pengundi kerana mereka pernah mengeluarkan kenyataan yang sama tetapi tidak satu pun betul," katanya.

Sementara itu, ketika melawat bilik gerakan BN di Tanah Liat, di sini, Najib meminta jentera BN untuk berusaha lebih gigih bagi menarik sokongan pengundi terhadap parti itu.

Beliau berkata ketika ini sudah ada tanda-tanda berlakunya perubahan sikap di kalangan pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan inisiatif perlu diambil untuk terus mendapatkan kepercayaan mereka kepada parti.

"Orang kata kita sedang melawan gajah tetapi gajah tidak sentiasa menang dan kita perlu berusaha supaya perkara yang selama ini dianggap mustahil oleh sesetengah pihak akan bertukar menjadi kenyataan iaitu BN mencapai kejayaan," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di situ.

Pada pilihan raya kecil itu, penasihat Parti Keadilan Rakyat itu ditentang calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).


"MP Sabah, Sarawak akan lompat", Anwar

Oleh Mstar
Selasa, 19 Ogos 2008

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengulangi wakil-wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak akan menyertai beliau sebaik sahaja melangkah ke Parlimen minggu depan.

"Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak sudah berjanji akan (menyokong) membentuk kerajaan," kata beliau ketika mengadakan ceramah umum di Kg. Petani, Permatang Pasir di sini malam tadi.

Kata Anwar, ahli-ahli Parlimen dan parti politik dari kedua-dua negeri itu menyatakan sokongan untuk membentuk kerajaan sebaik sahaja beliau melangkah ke Parlimen.

Anwar telah menetapkan 16 September ini sebagai tarikh untuk membentuk kerajaan persekutuan baru.

Pembangkang yakin 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat ke Pakatan Rakyat bagi membolehkan pembentukan kerajaan baru.

Permatang Pasir merupakan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Permatang Pauh.

Anwar bertanding atas kapasiti sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), anggota Pakatan Rakyat.

Beliau hadapi saingan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Presiden Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Kerusi DUN Permatang Pasir dipegang oleh wakil PAS.

Sambil menegaskan pendiriannya untuk membentuk kerajaan khususnya kembali ke Parlimen bukan satu "kerja gila", sebaliknya perkara itu telah lama dirancang.

"Sepuluh tahun saya menanti. (Tempoh) 10 tahun bukan satu masa yang lama," kata beliau dalam nada mendendang lagu.

"Saya tidak gila, saya memang sudah lama rancang," katanya lagi.

Malah dalam ucapannya itu Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri yakin akan kembali muncul sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau menyandang kerusi itu dari 1982 hingga 1999 dan kemudiannya oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut hadir pada ceramah itu.

"Wan Azizah sudah memaklumkan saya, meminta saya pada tahun 2004 (untuk bertanding)," katanya.

"Pada tahun 2004, saya dah kata kalau ada peluang saya akan bertanding," katanya.

Bagaimanapun tambah Anwar, beliau terus berhadapan dengan halangan termasuk menghadapi kes meliwat sekali lagi membabitkan Saiful yang bersumpah pada Jumaat lalu.

mStar Online difahamkan kedua-dua parti menggunakan isu berkenaan, antara lain mengedarkan rakaman upacara bersumpah Saiful dan bahan cetakan bagi mempengaruhi penyokong masing-masing.

Anwar keluar penjara pada 2004 tetapi berhadapan dengan larangan tidak boleh memegang jawatan politik dan bertanding pilihan raya selama lima tahun. Larangan ini berakhir sebulan selepas pilihan raya umum ke-12 yang berlangsung Mac lalu.

Malah dalam ucapannya itu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat yakin akan bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Pada 26 Ogos kita menang, pada 29 Ogos Perdana Menteri akan membentangkan Bajet (2009), saya akan duduk bertentangan dengan beliau (sebagai Ketua Pembangkang)," katanya.

Bagaimanapun katanya, peluang kemenangan itu tidak harus diambil mudah kerana ada cubaan untuk menghalangnya daripada ke Parlimen.

Sehubungan itu, Anwar memberitahu, pihaknya akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bahawa BN mengambil kad pengenalan daripada sebahagian pemilih dan menyimpannya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil.

Sebuah blog pro-Anwar mendakwa BN berusaha untuk mengambil 20,000 kad pengenalan dan digantikan kad pengenalan palsu bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil minggu depan.

Bahagian Permatang Pauh terdiri daripada lebih 58,000 pemilih.


Tuesday, August 19, 2008

"Saya letak jawatan", Pervez Musharraf

Oleh AFP
Selasa, 19 Ogos 2008

ISLAMABAD: Presiden Pakistan, Pervez Musharraf hari ini mengumumkan beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan bagi mengelakkan pendakwaan di Parlimen.

“Setelah mengkaji situasi dan berunding dengan penasihat undang-undang dan sekutu politik, atas nasihat mereka saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan,” kata Pervez dalam ucapan di televisyen ke seluruh negara.

Menurut Pervez, beliau membiarkan masa depannya ditentukan oleh rakyat.


Monday, August 18, 2008

"Pendidikan Seks di PLKN", Menteri

Oleh Bernama
Selasa, 19 Ogos 2008

KL: Slot pendidikan seks akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada sesi Januari 2009, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata modul pendidikan itu akan dilaksanakan melalui slot khas selama 10 jam di setiap kem PLKN.

Modul itu dikenali sebagai 'Self Preservation, Self Protection and Self Determination' di mana skop pengajarannya merangkumi nilai individu dan keluarga, pemahaman perubahan struktur badan secara fizikal (mengikut gender) dan emosi.

"Kita harus memberi pengajaran dan pengenalan tentang aspek-aspek ini supaya mereka lebih mengenali diri sendiri dan memahami masalah yang dihadapi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2008 di sini hari ini.

Ng berkata kebanyakan remaja mendapat pengetahuan seks daripada saluran tidak rasmi misalnya daripada perbualan dengan kawan dan maklumat daripada Internet.

"Sesetengah maklumat ini kurang tepat," katanya.

Ng berkata kementerian bercadang menubuhkan unit tugas khas untuk mewujudkan "modul kebapaan" bagi mengkaji peranan lelaki dalam keluarga dan membantu mereka menghadapi tekanan hidup serta mengawal emosi.

Menurut kajian, Lelaki didapati tidak begitu mahir menghadapi tekanan hidup berbanding wanita.

"Mereka enggan meminta bantuan daripada pakar runding sebaliknya menyimpan emosi sendiri sehingga akhirnya membawa kesan negatif seperti menimbulkan pelbagai masalah sosial," katanya.


"Tak perlu tunggu Anwar untuk turun harga minyak", Najib

Oleh Bernama
Selasa, 19 Ogos 2008

PERMATANG PAUH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan boleh menurunkan harga minyak dalam tempoh terdekat jika harga bahan bakar itu kekal pada AS113 setong.

"Sehari dua ini, mungkin ada berita baik. Harga minyak boleh dikaji semula," katanya ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di Permatang Tengah di sini hari ini.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata tidak perlu menunggu Penasihat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri bagi menurunkan harga minyak, sebaliknya kerajaan juga boleh berbuat demikian jika harga minyak kekal pada paras itu.

"Kalau harga minyak dunia turun, kerajaan boleh turunkan harga minyak. Ini boleh ditunaikan," katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga akan mengumumkan berita baik untuk rakyat pada pembentangan Belanjawan 2009 pada 29 Ogos ini.

"Ada berita baik nanti dalam belanjawan. Tunggulah," katanya.

Najib berkata langkah kerajaan itu bertujuan bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat ketika ini berikutan peningkatan kos hidup.

"Kerajaan tidak mahu rakyat dalam kesempitan hidup," katanya yang meminta supaya rakyat tidak terpengaruh dengan janji-janji pembangkang yang belum pasti boleh ditunaikan.


Minta izin sebelum masuk ke kamar ibu bapa

Oleh Ahmad
Selasa, 19 Ogos 2008

Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, islam itu adalah lebih dari sekadar agama. Islam merangkumi semua aspek kehidupan yang diperlukan oleh manusia. Di mana manusia memerlukan sesuatu, di situlah terdapat ciri-ciri dan tatasusila islam. Dengan pemahaman sebenar tentang islam, iaitu cara pemikiran islam yang bersih, yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW, semestinya seorang insan itu menghargai yang mereka sangat beruntung untuk mengenali agama yang benar ini.

Yang saya maksudkan dengan pemahaman sebenar islam ialah dalam konteks islam selaku sistem yang menyeluruh, yang menyentuh seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintah dan rakyat, perangai dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, materi dan kekayaan alam, penghasilan dan kekayaan berjuang dan berdakwah, pasukan dan pemikiran serta aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih.

Even dalam konteks yang lebih kecil seperti meminta kebenaran masuk ke rumah jiran dan bilik ibu bapa sekalipun tidak tercicir daripada ajaran yang benar ini. An-Nur ayat 58 hingga 60 telah memperincikan point saya dengan jelas tanpa memerlukan penerangan yang lain. Oleh itu, tidak ragu-ragu lagi islam adalah ajaran yg benar!


AKU BERLINDUNG KEPADA ALLAH DARIPADA SYAITAN YANG DIREJAM.

58. Wahai orang-orang yg beriman! Hendaklah hamba sahaya(laki-laki dan perempuan) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh(dewasa) di antara kamu, meminta izin kepada kamu pada tiga (kesempatan), iaitu sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari, dan setelah solat Isyak. (Itulah) tiga aurat(waktu) bagi kamu.* Tidak ada dosa bagimu dan tidak (pula) bagi mereka selain dari (tiga waktu) itu; mereka keluar masuk melayani kamu, sebagian kamu atas sebagian yang lain. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat itu kepadamu. Dan Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.


59. Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur dewasa, maka hendaklah mereka (juga) meminta izin, seperti orang-orang yang dewasa meminta izin.** Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatNya kepadamu. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.


60. Dan para perempuan tua yang telah berhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin menikah (lagi), maka tidak ada dosa menanggalkan pakaian (luar)*** mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan; tetapi memelihara kehormatan adalah lebih baik bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.


BENARLAH KATA-KATA ALLAH YANG MAHA AGUNG

* - Tiga macam waktu yang biasanya pada waktu-waktu itu badan banyak terbuka. Oleh itu, Allah melarang hamba sahaya dan anak-anak di bawah umur untuk masuk ke kamar tidur orang dewasa tanpa izin.

** - Anak-anak dari orang merdeka yang bukan mahram yang telah baligh, haruslah meminta izin terlebih daulu jika hendak masuk ke kamar tidur orang tua, speerti cara orang-orang yang disebut dalam ayat 27 dan 28 surah ini.

*** - Pakaian luar yang kalau dibuka tidak menampakkan aurat


Muqabalah: "Kenapa UMNO tak mahu terima islam secara syariat", Nik Aziz

Oleh Utusan
Isnin, 18 Ogos 2008

IPOH: Pas akan terus memperkukuhkan pakatan pembangkang tetapi pada masa sama akan bermuqabalah dengan UMNO, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Pas akan bermuqabalah dengan UMNO kerana ingin bertanya kenapa ia tidak mahu terima Islam secara syariat.

``Kita mesti teguhkan pakatan. Bermuqabalah dengan UMNO sebab nak tanya dia kenapa tidak terima Islam, itu saja,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-56 di sini hari ini.


"PAS ada ditawarkan jawatan penting", Nasharuddin

Oleh Mstar
Isnin, 18 Ogos 2008

IPOH: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendedahkan bahawa PAS pernah ditawar jawatan dalam kerajaan hingga peringkat kerajaan Pusat.

"Ya, PAS menerima tawaran untuk menubuhkan kerajaan bersama di Perak dan Selangor malah tawaran jawatan di kementerian," katanya kepada media selepas penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-54 di stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Namun katanya PAS telah menolak tawaran itu sejak pertemuan pertama beliau dan dua lagi wakil PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bersma Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Nasharuddin berkata soal pangkat dan jawatan bukan menjadi isu pertemuan beliau dan Abdullah itu.

"Soal pangkat tidak timbul kerana pertemuan itu bukan khusus kepada individu tetapi pada peringkat parti. Saya hanya mewakili parti, lagipun pada pertemuan pertama kami terus menolak tawaran itu," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan perbahasan oleh para perwakilan yang kebanyakannya menyentuh mengenai isu muzakarah PAS-Umno, beliau berkata perkara itu telah dijangkakan sejak awal lagi.

"Reaksi ini telah dijangka, malah saya jangkakan lebih lagi. Namun kita lihat ia dibangkitkan atas dasar sangsi kononya PAS ingin menyertai Barisan Nasional (BN) dan yang keduanya ialah kerana tamak kepada pangkat dan jawatan," katanya.

Bagaimanapun katanya perkara tersebut tiada dalam agenda pertemuan PAS dan Umno namun beliau berpuas hati kerana demokrasi dalam PAS membolehkan ahli untuk bebas bersuara dan bertanya kepada pemimpin tertinggi mengenai sebarang kesangsian.

Bagi beliau, isu ini telah selesai kerana Presiden dan semua pimpinan tertinggi telah memberi penjelasan yang jelas kepada semua perwakilan dan pemerhati yang hadir pada muktamar kali ini.

"Inilah objektif muktamar yang kita adakan. Selepas ini kita turun ke peringkat bawahan untuk menjelaskan kepada ahli mengenai Ucapan Dasar Presiden agar lebih difahami," katanya.

Nasharuddin berkata selepas pertemuan pertama itu beliau ada mengadakan dua lagi pertemuan dengan Abdullah di Parlimen.

"Pertemuan kedua adalah di Parlimen. Masa saya sedang minum, saya menerima pesanan bahawa Perdana Menteri ingin bertemu saya.

"Kemudian saya maklumkan perkara itu kepada Presiden dan beliau izinkannya. Namun pertemuan itu adalah pertemuan biasa tanpa sebarang tawaran," katanya.


Sunday, August 17, 2008

Ketua MIC 'lompat' parti

Oleh Bernama
Isnin, 18 Ogos 2008

KLANG: Bekas Ketua MIC bahagian Klang Alex Thiagarasan yang dipecat awal bulan lepas, hari ini menyertai DAP.

Beliau menyerahkan 1,500 borang keahlian baru kepada anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP Ronnie Liu dalam satu majlis ringkas di Dewan Hamzah di sini.

Bercakap pada majlis itu, Thiagarasan berkata beliau dan penyokongnya mengambil keputusan menyertai DAP setelah yakin bahawa parti itu adalah pentas politik yang lebih baik berbanding MIC.

"Saya mengalu-alukan kedatangan penduduk yang memerlukan perkhidmatan saya dan mereka boleh menemui saya di pusat khidmat yang sudah dibuka di Jalan Teluk Pulai di sini," katanya.

Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor mengalualukan kemasukan Thiagarasan dan penyokongnya serta memberi ingatan agar mereka mematuhi peraturan dan kebudayaan parti.

Thiagarasan dipecat dari MIC pada 7 Julai lepas setelah beliau membuat laporan polis dan laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Samy Vellu seterusnya memfailkan saman terhadap Thiagarasan dengan menuntut RM10 juta kerana memfitnah beliau dan memperolehi perintah injunksi sementara bagi menghalang Thiagarasan daripada terus menerbitkan artikel mengandungi fitnah mengenai beliau, sehingga kes samannya selesai.


Email Fwd: Berapa ramai suami yang boleh jadi imam?

Oleh Anonymous

Berapa ramai lelaki yang boleh menjadi imam?? Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang gadis juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si ! gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu
ibunya.

"Habis sekarang Kenapa tidak belajar?" Tanya Si lelaki lagi dengan penuh angkuh dan bersemangat. "Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak
tahu memasak.

Wanita sepatutnya buat begitu juga. Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai. Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan. Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga.

Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain. Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau p! un dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Wassalam.

Muktamar: "Setuju teruskan muqabalah", PAS

Oleh Bernama
Isnin, 18 Ogos 2008

IPOH: Setelah tiga hari hangat membincangkan isu muqabalah antara PAS dan Umno, muktamar tahunan PAS ke-54 berakhir hari ini dengan keputusan tegas memberikan kepercayaan kepada barisan kepimpinan untuk meneruskan pertemuan bersemuka dengan Umno.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata para perwakilan telah bersetuju menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan bagi meneruskan muqabalah itu dengan cara yang terbaik sejajar dengan matlamat dan prinsip asal perjuangan Islam oleh parti itu.

Semasa menggulung perbahasan muktamar itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS melalui kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR) akan juga menjalankan kewajipannya melaksanakan hukum-hukum Islam mengikut bidang kuasa yang ada.

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa juga bersyukur isu muqabalah itu telah dapat diselesaikan dengan baik pada muktamar itu.

"Alhamdulillah, muktamar ini berjaya merungkai persoalan ahli akar umbi terhadap isu muzakarah ini," katanya ketika diminta menjelaskan sejauh mana penerimaan ahli parti terhadap penjelasan isu berkenaan.

Nasharudin berkata pertemuan itu adalah diketahui dan dipersetujui Majlis Syura Ulama parti itu.

Beliau berkata anggota yang anti-muqabalah yang sehingga hari ini tidak bersetuju dengan sebarang pertemuan dengan Umno, harus menerima keputusan bersama yang dibuat pimpinan tertinggi parti.

"Dalam PAS, kita amalkan demokrasi, mereka boleh memberikan pandangan mereka tetapi keputusan telah dibuat parti, bila dah ada keputusan apatah lagi keputusan di peringkat paling tinggi dalam parti iaitu muktamar, kita kena akur bersama," katanya.

Ditanya mengenai butiran perbincangan dengan Umno pada pertemuan yang diadakan sebelum ini, Timbalan Presiden PAS itu berkata parti itu tidak ditawarkan jawatan tertinggi kerajaan, Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dalam muzakarah dengan Umno itu.

Katanya pertemuan 'tidak rasmi' sebanyak tiga kali dengan Umno yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac itu juga tidak timbul tawaran jawatan untuk individu termasuk mereka yang terlibat secara langsung dalam pertemuan itu.

Katanya, anggota parti PAS termasuk ahli akar umbi dilihat sudah boleh menerima dan memahami setiap tindakan pimpinan parti itu dalam isu berkenaan.

"Isi pertemuan dengan Umno hanya berkisar kepada isu-isu kontemporari seperti hal berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Tidak ada agenda politik yang boleh dikaitkan dengan perkongsian kuasa dibincangkan," katanya.

Sementara itu ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menyifatkan kesangsian ahli dan pimpinan di peringkat akar umbi mengenai isu muqabalah dengan Umno berjaya diselesaikan dengan baik dalam muktamar tersebut.

"Selesai...tidak ada apa-apa masalah. Ia telah terjawab. Keterbukaan pemimpin untuk terima pandangan yang kritikal dan kebijaksanaan mereka telah berjaya selesaikan banyak persoalan yang tidak terjawab sebelum ini," katanya.

Beliau juga menafikan wujud perpecahan dalaman parti akibat isu berkenaan malah mengibaratkannya sebagai "kocakan air dalam cawan sahaja."

Pada muktamar ini, PAS juga menekankan mengenai pentingnya parti itu dalam PR sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam.

Perwakilan PAS kawasan Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menegaskan perkara ini semasa mengambil bahagian dalam usul memperkasakan Pakatan Rakyat berkata kedudukan PAS dalam pakatan itu berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP adalah penting dan istimewa sebagai parti yang memperjuangkan Islam di negara ini.

"Kita memperjuangkan Islam dengan menolak rasuah, penyelewengan, penipuan dan kezaliman...Islam yang diperjuangkan oleh Barisan Nasional (BN) pula menghalang bukan Islam daripada memahami apa itu Islam malah lebih teruk lagi menghalang perjuangan Islam," katanya ketika menyokong usul memperkasakan pakatan pembangkang itu.

Seorang lagi perwakilan berkata kerajaan campuran di Perak antara PAS, DAP dan PKR merupakan satu contoh pentadbiran masyarakat majmuk yang sangat relevan dan terbaik bagi pakatan pembangkang.

Wakil PAS kawasan Tambun, Dr Khairudin Abdul Malik berkata menerusi hubungan baik antara pakatan pembangkang, kerajaan negeri yang diketuai PAS begitu mudah menjalankan pentadbiran.

"Kita hanya ada enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi DUN di Perak. Bagaimanapun adalah sesuatu keajaiban apabila pemimpin PAS dipilih untuk menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri," katanya.

Beliau juga berkata PAS perlu terus berusaha untuk menambahkan jumlah ahli termasuk daripada kalangan golongan India dan Cina Muslim selain Muslim dari suku kaum lain seperti Kadazan.


Permatang Pauh: "Zulkifli akan turun", Shamsul

Oleh Mstar
Isnin, 18 Ogos 2008

PP: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang dikatakan 'hilang' sejak 9 Ogos lalu masih belum muncul-muncul lagi tetapi diyakini akan berada di sini dalam beberapa hari ini untuk berkempen membantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, beliau dimaklumkan Zulkifli sedang bercuti.

"Saya belum jumpa beliau lagi, belum dapat berhubung dengan beliau lagi (sejak minggu lalu). Saya dimaklumkan beliau sedang bercuti, tetapi tidak tahu di mana," kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Zulkifli dilaporkan 'menghilangkan' diri sejak berada di Kuala Lumpur untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi membantah forum anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu.

Sejak selepas demonstrasi itu beliau tidak muncul di khalayak termasuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun pada minggu lalu ada laporan menyebut beliau berada di Kuala Lumpur untuk menguruskan kes perbicaraan mahkamah berhubung petisyen pilihan raya yang dikemukakan terhadapnya.

Pembantu Khas Zulkifli, Saari Fadhil Hud berkata, anggota Majlis Tertinggi PKR itu telah menghubunginya untuk memaklumkan perkara tersebut.

"Beliau akan pulang ke kawasannya minggu depan dan meminta saya untuk menguruskan hal-hal Parlimen Kulim-Bandar Baru termasuk berjumpa dengan orang ramai bagi menyelesaikan masalah berbangkit," katanya.

Ketika ditanya sama ada Zulkifli akan berada di Permatang Pauh untuk berkempen, Shamsul Iskandar berkata, "ya, beliau akan datang."


Friday, August 15, 2008

Hassan Marican letak jawatan

Oleh Bernama
Jumaat, 15 Ogos 2008

KUALA LUMPUR–Pengerusi dan Pengarah Petronas Gas Bhd., Tan Sri Mohd. Hassan Marican meletak jawatan sebagai pengerusi dan pengarah berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Wan Zulkiflee Wan Ariffin, yang dilantik memegang jawatan itu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu jawatan Wan Zulkiflee sebelum ini ialah sebagai Pengarah Petronas Gas.

Mohd. Hassan masih mengekalkan jawatannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Petronas Gas adalah antara empat anak syarikat Petronas yang disenarai di Bursa Malaysia.

Petronas Gas terlibat dalam pemprosesan dan perkhidmatan penghantaran kepada Petronas dan pelanggannya.


Permatang Pauh: "Pengundi hantu wujud!", Arif Shah


Oleh Bernama
Jumaat, 15 Ogos 2008

CALON Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah, mendakwa terdapat "pengundi hantu" di kawasan itu.

Arif Shah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya berkata, satu kajian yang dibuat selepas pilihan raya 8 Mac lepas, mendapati banyak nama pengundi yang didaftarkan menggunakan satu alamat tetapi apabila disemak, hanya dua atau tiga orang sahaja yang tinggal di alamat itu.

"Saya tidak pasti sama ada mereka ini pengundi hantu, pengundi yang menumpang atau pekerja kilang di kawasan Sungai Petani atau berhampiran yang menggunakan alamat itu tetapi tidak tinggal di situ," katanya kepada pemberita di rumahnya di Persiaran Tenggiri, Seberang Jaya, dekat sini.

Menurutnya, kebanyakan pemilik rumah itu juga tidak mengenali nama-nama yang menggunakan alamat rumah mereka dan beliau mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara itu.

"Saya bimbang jika perkara ini disengajakan, ia akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya yang sebenarnya," kata Arif Shah yang semalam dinamakan sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil itu pada 26 Ogos ini, dan dijangka menentang penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerusi itu dikosongkan oleh isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR.

Bagi kerusi negeri Seberang Jaya, pada pilihan raya 2004, Arif Shah, yang memperoleh 10,113 undi menewaskan Dr Mansor Othman dari PKR dengan majoriti 4,464 undi dan pada pilihan raya baru-baru ini. Beliau menang dengan majoriti 533 undi setelah mengalahkan Ramli Bulat juga daripada PKR.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kewujudan "pengundi hantu" itu, berkata sebarang bantahan terhadap daftar pemilih mestilah dilakukan ketika ianya dipamerkan.

"Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 menyatakan mana-mana daftar pemilih yang telah disahkan melalui proses undang-undang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana mahkamah.

"Daftar pemilih yang telahpun diluluskan undang-undang itu tetap akan digunakan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya.

Kamaruzaman juga berkata segala persiapan SPR bagi menghadapi pilihan raya kecil itu berjalan lancar.

Seramai 58,459 pemilih termasuk 490 pengundi pos, layak mengundi pada pilihan raya kecil itu.


Thursday, August 14, 2008

Ketabahan Wan Azizah

Oleh Suara Keadilan
Khamis, 14 Ogos 2008

KEBERANIAN Dr Wan Azizah Ismail melepaskan jawatan 31 Julai lalu sebagai wakil rakyat Permatang Pauh demi perjuangan parti membuktikan beliau bukan calang-calang orang.

Disebalik sikap peramah dan lemah lembutnya, terselindung jati diri yang lebih jitu, utuh dan padu iaitu ketabahan dan kecekalan beliau.

Kekuatan dalaman inilah yang membolehkan beliau mengharungi sepak terajang dunia politik, suatu dunia yang tidak pernah beliau impikan malah apa lagi menceburinya.

Tetapi itulah yang dikatakan takdir. Takdir juga meletakkan beliau di persada politik tanahair sebagai Presiden KeADILan sejak parti tersebut ditubuhkan sedekad lalu.

Beliau memberi laluan kepada suami tercinta, Anwar Ibrahim agar obor perjuangan yang dibawanya selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh terus dijulang Anwar ke tahap perjuangan yang lebih mencabar dan getir.

Kesanggupan ini menjadikan beliau seorang yang unik dan disanjung rakyat di atas pengorbanan beliau itu.

Dalam temuramah selama sejam di ibu pejabat KeADILan, Dr Wan Azizah, menyingkap pengalaman pahit beliau ketika suami tercinta ditangkap dan dipukul polis semasa di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1998.

Doktor kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga mengimbas kembali saat-saat manis Anwar dibebaskan daripada Penjara Sungai Buloh pada 2004. Ikuti liku-liku hidup beliau mengharungi tanggungjawab sebagai seorang ibu, isteri, nenek dan pejuang politik yang beliau berkongsi bersama Suara Keadilan.

Wartawan Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan Zul Salehin Zulkupli bersama-sama juru gambar Yuisriah Yusof dan juru kamera Ebrahim Harris menemubual Dato’ Seri Dr Wan Azizah di Ibu Pejabat KeADILan di Petaling Jaya1 Ogos lalu.

PEMBABITAN POLITIK

Apa yang mendorong Dato’ Seri mengambil tanggungjawab menerajui sebuah parti politik yang baru pada 1998 walaupun Dato’ Seri bukan ahli politik ketika itu?

Saya berkeyakinan bahawa saya harus bangun menegakkan keadilan dan memberi semangat kepada suami dan juga anak-anak saya.

Pada masa itu anak-anak saya masih kecil lagi dan saya juga mempunyai latarbelakang yang mungkin berbeza dengan ramai rakyat Malaysia, namun dalam hati kecil saya saya tetap mahu bahawa saya mesti buat sesuatu. Itu adalah azam hidup saya untuk menegakkan yang hak dan cuba melenyapkan ketidakadilan.

Sebelum Dato’ Seri menerajui KeADILan, Dato’ Seri adalah seorang isteri kepada Timbalan Perdana Menteri. Mungkin sedikit sebanyak Dato’ Seri didedahkan kepada dunia politik melalui Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Adakah Dato’ Seri meminati bidang politik sehingga akhirnya meyakinkan Dato’ Seri untuk memimpin sebuah parti politik?

Saya tidak ada minat dan tidak didedahkan kepada apa-apa yang berbaur politik sejak kecil lagi. Saya dibesarkan di Alor Setar, “a small town girl” dan belajar di Sekolah Convent. Saya hanya menjalani kehidupan seperti rakyat biasa. Selepas itu saya ke luar negara, tamatkan pengajian dan pulang bekerja di Malaysia. Itu saya kira sesuatu yang biasa dialami oleh ramai orang.

Selepas itu saya bertemu Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan berkahwin. Saya mengahwini seorang guru di mana pada ketika itu Dato’ Seri Anwar bekerja di Yayasan Anda Akademi, sebuah institusi untuk anak-anak yang tercicir. Dato’ Seri Anwar mempunyai satu ciri dan azam untuk mengangkat martabat pendidikan anak-anak Melayu.

Dengan kemudahan yang serba kekurangan, kesempitan hidup, anak-anak ini mungkin tidak mencapai tahap akademik yang diinginkan. Jadi untuk membuka peluang bagi mereka, yayasan ini banyak membantu mereka yang tercicir dalam bidang akademik.

Saya mengahwini Dato’ Seri Anwar pada tahun 1980 dan pada ketika itu pendapatan saya lebih sedikit daripada beliau.

Dato’ Seri Anwar mendapat RM800 sebulan dan saya ketika itu berkhidmat sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan. Ketika saya menjalani “housemanship” di Hospital Besar Kuala Lumpur saya bertemu Dato’ Seri Anwar.

Adakah pengalaman yang diperolehi oleh Dato’ Seri sebagai isteri seorang ahli politik memberi kekuatan dan keyakinan kepada Dato’ Seri untuk memimpin KeADILan?

Apabila beliau masuk gelanggang politik pada tahun 1982 dan beliau memasuki Umno, ia sungguh mengejutkan saya kerana beliau pada ketika itu juga mempunyai hubungan baik dengan Pas yang dipimpin oleh Allahyarham Dato’ Asri ketika itu. Tetapi dia telah membuat keputusan dan saya sebagai isteri berharap saya menjadi isteri yang baik serta memberi segala sokongan kepada suami yang baru memasuki arena politik.

Setelah itu beliau bertanding di Permatang Pauh pada 1982 dan memenangi kerusi tersebut. Kemudian Dato’ Seri Anwar dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan akhirnya Timbalan Perdana Menteri.

Saya hanya isteri seorang ahli politik, saya tidak tahu selok belok politik. Saya hanya menerima tetamu yang datang ke rumah, menghadiri Perhimpunan Agung Umno dan sebagainya dan juga sedikit sebanyak pengalaman sebagai isteri menteri dalam Bakti.

Selepas peristiwa penangkapan Dato’ Seri Anwar pengalaman saya berubah dan saya memang merasa tertekan tetapi seperti yang saya katakan saya berpegang kepada prinsip keadilan.

Pangkat dan kedudukan hanya membantu dalam apa yang kita hendak buat tetapi apa yang kita percaya itulah yang menjadi dorongan utama.

Saya kira ini adalah pengalaman pahit dalam hidup dan saya akan cuba harungi sedaya upaya. Sebagai seorang Islam saya mahukan keredhaan Allah s.w.t dan itulah yang memberi saya kekuatan.

Jika pegangan kita kuat kita mampu menghadapi apa jua kesusahan.

PENUBUHAN KeADILan

Boleh Dato’ Seri ceritakan sedikit peringkat awal penubuhan KeADILan sehingga Dato’ Seri dipilih menerajui parti?

Bila saya fikirkan kembali, seolah-olah ulang tayang, saya kira ia sesuatu yang mustahil terjadi tetapi hakikatnya ia berlaku.

Semua yang terjadi tidaklah dirancang begitu teliti sebab apabila Dato’ Seri Anwar dipecat beliau telah mengadakan “roadshow” menjelajah seluruh Malaysia dan pada masa itu memang ada ura-ura beliau akan ditangkap. Jadi pada salah satu ceramah beliau apabila Dato’ Seri Anwar ditanya siapa yang akan menggantikan beliau jika beliau ditangkap terus Dato’ Seri Anwar mengumumkan bahawa saya akan menerajui parti jika apa-apa terjadi kepada beliau.

Apa perasaan Dato’ Seri setelah diisytiharkan oleh Dato’ Seri Anwar sebagai pengganti beliau?

Saya agak terkejut dengan keputusan beliau itu kerana kami tidak pernah berbincang terlebih dahulu mengenainya. Namun setelah diberi tanggungjawab saya akur dan pada ketika itu saya tidak merasakan begitu teruk sebab Dato’ Seri Anwar belum ditangkap dan masih di sisi saya.

Apabila akhirnya Dato’ Seri Anwar ditangkap dan saya diumumkan sebagai pengganti beliau maka saya menerima mandat dan kepercayaan tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab.

Saya mengucapkan alhamdullilah ketika itu dan berdoa kepada Allah, “Ya Allah berilah kekuatan kepada saya”. Itulah sedikit sebanyak apa yang berlaku pada awal sejarah penubuhan KeADILan.

Selepas itu saya mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin parti yang lain mengenai struktur organisasi samada ianya satu parti Melayu atau parti pelbagai etnik, muka-muka baru dalam parti, siapa yang akan dilantik dalam jawatankuasa dan sebagainya.

ANWAR DI TANGKAP


Apabila Dato’ Seri Anwar ditangkap pada September 1998, apa pesanan terakhir beliau kepada Dato’ Seri?

Beliau tidak sempat berpesan apa-apa kerana apabila beliau ditangkap mereka serbu masuk rumah dan masa itu memang kelam kabut.

Anak saya Ihsan dan Nuha baru balik dari tuisyen ketika itu. Ihsan diacukan dengan “machine gun” di tengkuknya kerana Ihsan ketika itu berlari ke arah ayahnya yang telah dikepung manakala Nuha pula lebam di belakang badannya kerana dihentak dengan buntut senapang. Anak kelima saya pula menjerit kesakitan kerana dipijak kakinya.

Bagaimana perasaan Dato’ Seri ketika Dato’ Seri Anwar ditangkap kerana beberapa hari sebelum itu beliau adalah sebahagian daripada pemimpin tinggi kerajaan dan apabila dipecat beliau dilayan sebegitu rupa termasuk keluarga dan anak-anak beliau?

Ketika itu saya tidak mahu fikir mengenai orang lain. Saya hanya memikirkan untuk menjaga dan melindungi keluarga saya dan itulah sahaja yang bermain di fikiran saya ketika itu.
Walaupun ramai penyokong datang saya berasa amat lemah dan tertekan. Anak-anak saya menceritakan apa yang berlaku kepada mereka hanya selepas dua tahun.

Saya fikir saya mesti melindungi Dato’ Seri Anwar. Selepas beliau ditangkap kami sekeluarga dimasukkan di dalam sebuah van dan Hana masa itu masih didukung.

Di tengah-tengah perjalanan itu van tersebut berhenti dan kami dipisahkan. Dato’ Seri Anwar dibawa keluar seorang dalam keadaan digari dan ditutup mata. Saya tidak tahu dimana lokasi kami dipisahkan kerana saya berada di van berasingan dan sehingga hari ini saya masih tidak tahu lokasi tersebut.

Apa yang saya ingat ia adalah satu tempat yang sunyi dan saya tidak dapat mengecamnya. Dato’ Seri Anwar sempat mengucapkan “see you later Zah” ketika kami dipisahkan dan itulah kata-kata terakhir beliau.

Apabila saya sampai ke Bukit Aman saya tidak dibenarkan masuk. Dalam situasi kelam kabut dan tegang itu tidak sedar yang saya tidak memakai kasut dan berkaki ayam. Saya berkata kepada pihak polis bahawa saya tidak akan balik selagi saya tidak tahu di mana Dato’ Seri Anwar dibawa.

Anak-anak saya pada ketika berada dalam van. saya berkeras tidak mahu pulang sehingga polis memanggil Dato’ Jamil Johari. Beliau datang dalam keadaan memakai kemeja T sahaja dan saya terus berkata kepadanya, “Sebagai seorang Islam, I want your word as a Muslim. You Islam, I Islam, jangan apa-apakan Anwar. If my husband is guilty or not guilty you deal with it professionally”.
Masa itu saya tidak sedar bahawa Dato’ Seri Anwar sedang dibelasah di Bukit Aman.

Apa respon Dato’ Jamil Johari?

Beliau berkata “yes, kita akan buat secara profesional”. Kemungkinan beliau juga tidak tahu yang Dato’ Seri Anwar dipukul pada ketika itu.

Selepas ditangkap bila Dato’ Seri dapat berjumpa untuk pertama kalinya dengan Dato’ Seri Anwar?

Saya tidak dibenarkan menemui beliau ketika ditahan pada 20 September sehinggalah 29 September. Saya hanya dapat peluang bertemu beliau di mahkamah. Ini kerana ketika ditangkap dirumah beliau ditahan dibawah akta 377 B iaitu “sodomy” dan pada keesokan harinya dipinda pula kepada ISA.

Jadi kita tidak dapat berjumpa sehingga 29 September dan ketika Dato’ Seri Anwar dibawa ke mahkamah matanya lebam. Memang masa saya berjumpa beliau perasaan saya bercampur antara susah hati dan rasa lega kerana beliau masih hidup.

Susah hati kerana saya menerima satu panggilan pada 21 September, sehari selepas Dato’ Seri Anwar ditangkap yang mengatakan beliau telah meninggal dunia! Saat itu saya merasakan seperti orang tidak siuman, tapi saya berkata kepada diri saya tidak akan percaya sehingga saya dapat melihat mayat beliau dengan mata kepala saya sendiri. Sebab itulah apabila saya berjumpa dengan beliau pada 29 September itu saya berasa amat lega dan bersyukur sekali yang beliau masih hidup.

Saya juga berasa lega apabila hakim membenarkan doktor memeriksa Dato’ Seri Anwar. Pada masa itu, kita dibenarkan melawat beliau tetapi diawasi ketat oleh polis dan Dato’ Seri juga nampak amat keberatan untuk bercakap cakap kerana mungkin ada Special Branch yang pandai membaca pergerakan bibir.

Apabila Dato’ Seri bertemu Dato’ Seri Anwar buat pertama kalinya di mahkamah, apakah pesanan beliau?

Dato’ Seri Anwar berkata kepada saya, “sabar, take it easy”. Kita tidak menjangka ianya akan jadi sebegini rupa dan amat zalim. Mungkin sebelum beliau dibelasah saya masih ada lagi sikit kepercayaan terhadap polis tetapi apabila saya melihat mata lebam beliau saya kurang kepercayaan kepada sesiapapun. Dato’ Seri Anwar juga turut tidak percaya kepada sesiapa kerana dua hari sebelum ditangkap beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya dipukul. Sebagai seorang doktor, kita boleh kawal emosi dan bersabar. Jarang saya tunjukkan emosi saya walaupun selepas Dato’ Ser Anwar ditangkap, cuma sekali sahaja saya menangis ketika di Baling.

SOKONGAN KELUARGA DAN KAWAN

Bagaimana pula dengan sokongan daripada kawan dan sahabat handai Dato’ Seri?

Saya mendapat sokongan dari kawan-kawan tetapi bagi isteri-isteri menteri dan Perdana Menteri saya faham dilema mereka. Selepas Dato’ Seri Anwar disingkirkan daripada jawatan beliau saya pergi ke rumah Perdana Menteri dan berjumpa dengan Tun Dr Siti Hasmah.

Dia memang baik dan bertanya kenapa saya tak datang lebih awal. Pada beliau tindakan suaminya betul dan saya rasa tak mungkin saya akan dapat apa-apa sokongan dari beliau.

Ada isteri-isteri menteri yang datang jumpa saya tapi tidak ramai, dan saya berterima kasih kepada mereka kerana sudi datang walaupun berlainan pandangan politik. Walau bagaimanapun yang membuat saya berasa amat berbesar hati adalah mereka yang saya tidak kenal langsung.

Mereka inilah yang datang dan memberi saya semangat serta dorongan dan berjanji mahu bersama-sama menegakkan keadilan. Hati saya amat terharu apabila seorang makcik tua yang dah bongkok datang berjumpa saya di Cherok To’ Kun dan memberi satu ringgit kepada saya. Saya betul-betul amat terharu dan peristiwa itu memberi kekuatan lagi kepada diri saya untuk terus berjuang dan juga menambahkan keyakinan saya.

Semua yang kita lakukan selama ini bukan semata-mata bukan kerana Dato’ Seri Anwar atau keluarga. Memang beliau dizalimi tetapi yang lebih utama ialah kita lakukan demi negara kita dan rakyat. Bersama-sama rakyat menegakkan yang hak membuatkan saya yakin dan kuat semangat.

Bagaimana kesan ke atas anak-anak dan keluarga Dato’ Seri melihat apa yang terjadi kepada Dato’ Seri Anwar?

Alhamdulillah anak-anak saya terutamanya Nurul Izzah faham apa yang berlaku. Mereka melihat ini sebagai satu perjuangan. Mereka menerima sindiran dari kawan-kawan tetapi ini memperkukuhkan ikatan kami sekeluarga.

Dato’ Seri Anwar adalah seorang ayah yang penyayang dan selalu bergaul rapat dengan anak-anak dan sekarang bersama cucu. Jadi itu mengeratkan lagi ikatan kami sebagai satu keluarga. Saya bersyukur kita mampu menghadapi semua ini dengan sabar dan tabah.

Bila anak-anak saya melihat ibu mereka mampu bertahan dan sabar menghadapi semua cabaran itu juga yang memberi mereka kekuatan. Mereka melihat saya tidak tunduk, saya masih teguh dan saya mengatakan kepada mereka bahawa ini adalah fitnah terhadap ayah mereka dan kita harus bersama-sama menegakkan keadilan.
Walaupun ada bisikan-bisikan yang ragu-ragu dengan fitnah ini, kami sekeluarga tetap berpegang teguh dengan pendirian kami bahawa ini adalah fitnah semata-mata.

MELAWAT ANWAR DI PENJARA

Selama enam tahun Dato’ Seri Anwar dipenjarakan berapa kali Dato’ Seri sekeluarga melawat beliau?

Ianya bergantung. Ketika dalam tahanan reman kami boleh melawat dua minggu sekali tetapi pada peringkat awal reman, kami tidak dibenarkan melawat beliau. Saya hanya dapat bercakap dengan beliau menggunakan interkom disebalik dua lapisan kaca dan wajah Dato’ Seri Anwar tidak jelas kelihatan kerana kaca tersebut agak kotor.

Apabila Dato’ Seri Anwar mula menggunakan kerusi roda, bapa mertua saya menulis surat kepada Perdana Menteri untuk merayu dan membenarkan kami melawat beliau seminggu sekali.

Agak payah juga waktu hendak melawat Dato’ Seri Anwar sebab kami perlu serah kad pengenalan, mengisi borang dan terpaksa menunggu lama dan pelbagai lagi halangan tetapi apabila dapat berjumpa beliau kami sekeluarga dapat menghilangkan kerinduan kami. Ketika berjumpa Dato’ Seri Anwar beliau sentiasa berlagak normal dan tidak memberitahu kesusahan yang dihadapinya. Jika saya fikirkan masa beliau ditahanlah, saya dapat bersama-sama beliau meluangkan masa kualiti dengan anak-anak. ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri perjum-paan sebegini memang jarang berlaku kerana beliau terlalu sibuk dengan tugas-tugas rasmi kerajaan. Mungkin juga ada hikmah di sebalik penangkapannya.

Sepanjang enam tahun tersebut, walaupun hanya dapat berjumpa 40 minit dengan beliau namun ianya cukup berharga bagi kami. Ketika itu anak-anak mengambil peluang untuk berbual dengan ayah mereka dan ini merupakan kenangan manis bagi kami sekeluarga. Bagaimanapun kami tidak dibenarkan membawa makanan.

Berapa kali pula Dato’ Seri sekeluar-ga berpeluang menyambut harijadi bersama Dato’ Seri Anwar semasa beliau dalam tahanan?

Ia jarang kerana memandangkan beliau di penjara tetapi kami berpeluang hanya sekali di mahkamah apabila kami membawa kek harijadi untuk beliau. Walau bagaimanapun, alhamdullilah, yang paling penting kami sekeluarga masih teguh bersama.

TANGGUNGJAWAB POLITIK DAN ANAK-ANAK

Adakah anak-anak Dato’ Seri mempunyai kesedaran politik melalui apa yang terjadi kepada ayah mereka?

Izzah yang paling memahami senario yang berlaku dan adik-adiknya yang lain hanya ambil tahu sahaja.

Daripada masa Dato’ Seri menerajui parti sehinggalah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh adakah Dato’ Seri mengadakan perbincangan dengan Dato’ Seri Anwar mengenai hal dan masalah bersangkutan parti, polisi, dasar, perancangan dan sebagainya?

Kami sentiasa sibuk dengan kerja-kerja parti tetapi kami sering berbincang secara tidak formal. Bukan kami berdua sahaja berbincang, Dato’ Seri Anwar lebih gemarkan konsensus daripada semua pemimpin parti dan juga pemimpin Pakatan Rakyat. Kita tidaklah mempunyai kepakaran dan sesi ‘briefing’ seperti yang diberi oleh Perdana Menteri tetapi kita ambil pendapat semua orang.

Apakah cabaran-cabaran yang Dato’ Seri hadapi sepanjang sepuluh tahun menerajui KeADILan?

Sememang dalam parti ada pasang surutnya. Pada 1999 kita melihat ramai pemimpin KeADILan keluar dan masuk parti. Ini lumrah. Pada pilihan raya 1999 kami memenangi 5 kerusi dan 2004 hanya satu kerusi sahaja.

Jika kita membuat kajian senario politik negara, keadaan politik yang kita alami bagaikan ‘pendulum’ dimana setiap kali pilihan raya, rakyat akan beri sokongan kepada kerajaan dan pada pilihan raya yang lain rakyat berpihak kepada pembangkang.

Tahun 2008 adalah tahun bagi pembangkang dan 2004 adalah untuk kerajaan di mana pada ketika itu kita mempunyai Perdana Menteri yang baru dengan konsep Islam Hadhari-nya dan tamatnya era Tun Dr Mahathir.

Jadi rakyat mendapat harapan baru dan mengundi Perdana Menteri yang baru. Pada ketika itu hanya saya seorang memenangi kerusi yang ditandingi KeADILan dan itu pun hampir kalah.

SAAT MANIS DAN PAHIT

Boleh Dato’ Seri berkongsi saat yang paling pahit dalam tempoh sepuluh tahun ini?

Saat yang paling pahit ialah ketika saya diberitahu Dato’ Seri Anwar meninggal dunia dalam tahanan polis. Saya tidak berapa ingat apa lagi yang diberitahu dalam panggilan telefon tersebut tetapi saya cuma beritahu saya tidak percaya dengan cerita itu.

Saya jarang bercakap kasar dengan orang tetapi ketika itu saya tinggikan suara saya kerana terlalu marah dengan berita yang mengatakan Dato’ Seri Anwar telah meninggal.

Saya katakan kepada diri saya sendiri masa kan Allah tidak memberikan hambanya peluang kerana saya adalah mangsa dalam masalah ini dan tidak langsung terlibat dengan politik.

Daripada 20 September sehingga 29 September merupakan hari-hari yang paling gusar bagi saya kerana saya tidak mengetahui langsung apa yang terjadi kepada Dato’ Seri Anwar.

Saya dapat berkomunikasi dengan Musa Hasan yang mengendalikan siasatan itu dan bertanya kepada beliau keadaan Dato’ Seri Anwar dan beliau memberi jaminan bahawa Dato’ Seri Anwar berada dalam keadaan dan kesihatan yang baik.

Selama sembilan hari tidak ada berita mengenai Dato’ Seri Anwar, apakah yang bermain-main di fikiran Dato’ Seri pada ketika itu?

Saya hanya fikirkan tentang anak-anak dan keluarga dan bagaimana hendak menangani masalah ini. Apa yang mampu saya buat, dengan tidak ada pekerjaan ketika itu dan di mana pula hendak dapatkan sumber kewangan untuk menjalani kehidupan seharian?

Rumah kami di Bukit Damansara juga belum habis dibayar pinjaman perumahan kerajaannya tetapi alhamdullilah, selepas itu ramai yang membantu kami sekeluarga dengan sumbangan dari mereka. Sedikit sebanyak dapatlah kami menampung perbelanjaan umpamanya tuisyen anak-anak. Saya amat bersyukur ke hadrat ilahi dengan rezeki yang dilimpahkannya. Izzah ketika di Uniten, ramai juga yang membantunya.

Apa pula saat yang paling manis buat Dato’ Seri?

Saat paling manis sudah pasti ketika Dato’ Seri Anwar dibebaskan dari penjara kerana saya tidak menyangka beliau akan dibebaskan. Sebelum beliau dibebaskan, Dato’ Seri Anwar ada menyebut kemungkinan beliau akan dibebaskan cuma beliau berpesan kepada saya supaya tidak meletakkan harapan yang tinggi dan jangan bersedia untuk hari tersebut.

Pada hari beliau dibebaskan kami terkejut apatah lagi dengan keadaan rumah yang masih tidak terurus kerana kami berpindah dari kediaman rasmi setelah dua hari Dato’ Seri Anwar dipecat. Kami hanya membuka separuh sahaja kotak-kotak di rumah Bukit Damansara itu dan selebihnya dibiarkan dalam kotak.

Ketika mendapat berita tersebut keadaan kami sekeluarga ketika itu agak kelam kabut sedikit. Dato’ Seri Anwar ketika pulang dari penjara membawa bersama barang-barang peribadinya dan baju beliau semuanya masih berada dalam kotak-kotak yang belum dibuka. Pada keesokan paginya, ketika kami sedang bersarapan, Dato’ Seri Anwar hanya berkain pelikat dan menyarung kemeja T dan apabila saya membuka pintu rumah kami terkejut melihat jurugambar-jurugambar dari akhbar Cina yang telah sedia menunggu di hadapan rumah.

Mereka berebut-rebut untuk mengambil gambar Dato’ Seri Anwar dan saya agak terkejut dengan apa yang berlaku. “Okaylah, it was nice, he’s around, the kids checked up on him and they still can’t believe that papa is home and everyone in the family is very happy at that time”.

Pada keesokan harinya kami mengambil pasport beliau untuk membawanya ke Munich bagi pembedahan sakit belakangnya.

ANWAR DIBEBASKAN

Apa perancangan awal Dato’ Seri setelah Dato’ Seri Anwar dibebaskan?

Saya memikirkan tentang masalah kesihatan Dato’ Seri Anwar kerana beliau sudah menggunakan kerusi roda dan tidak dapat berjalan dengan betul. Keadaan fizikalnya juga kurus disebabkan beliau jarang makan ketika dalam tahanan dan sering berpuasa.

Sudah berapa lama Dato’ Seri sekeluarga tidak pergi bercuti?

Ketika kami ke Munich untuk pembedahan Dato’ Seri Anwar itulah dianggap percutian bagi kami sekeluarga, “we took it as part vacation” dan kami sekeluarga selepas itu mengerjakan umrah yang pada ketika itu bulan Ramadhan dan kami menyambut Ramadhan di sana.

Jadi kami dapatlah juga peluang untuk bercuti dan ketika juga Dato’ Seri Anwar menjadi profesor, kami sekeluarga turut melawat beliau dan ke Geneva selama dua hari.

Ketika berada di luar negara, bagaimana respon rakyat Malaysia dan asing terhadap Dato’ Seri Anwar?

Alhamdullilah, kami diterima dengan baik. Dato’ Seri Anwar sering dijemput untuk memberikan ucaptama dan mendapat sambutan yang amat baik. Bagaimanapun pelajar Malaysia telah diberi amaran oleh “Malaysian Student Department” untuk tidak menghadiri apa-apa ceramah yang melibatkan Dato’ Seri Anwar dan jika ingkar, pelajar-pelajar ini akan mengalami masalah biasiswa.

LEPASKAN KERUSI PARLIMEN PERMATANG PAUH

Apakah yang mendorong Dato’ Seri untuk melepaskan kerusi parlimen Permatang Pauh kepada Dato’ Seri Anwar kerana sebelum ini Kulim Bandar Baharu dikatakan kawasan beliau akan bertanding pilihan raya kecil?

Kami telah berbincang dan saya mula-mula dahulu ketika bertanding dan memasuki politik pun kerana apa yang terjadi kepada Dato’ Seri Anwar. Kalau beliau tidak boleh bertanding ini adalah kerana kerajaan menjadi penyebab perkara sebegini berlaku. Kerajaan tidak membenarkan beliau bertanding pada 2008.
Sekiranya kerajaan membenarkan beliau bertanding, perkara sebegini tidak akan berlaku.

Saya juga pernah memberitahu dan berterus terang kepada pengundi-pengundi saya, bahawa jika saya menang kerusi Permatang Pauh saya akan kosongkan kerusi ini untuk memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar bertanding.

Beliau memang berasal dari Permatang Pauh dan menjadi ahli parlimen Permatang Pauh sejak tahun 1982 lagi sehingga 1999.

Jadi ada satu ikatan yang begitu erat sekali di antara kami dan penduduk Permatang Pauh. Dalam pilihan raya 2004 saya memenangi kerusi itu. Pada kiraan pertama, saya sudah menang dan saya tidak meminta kiraan semula. Tidak mungkin saya hendak membuat kiraan semula jika saya sudah diisytiharkan menang.

Pihak lawanlah yang meminta kiraan semula kerana mereka sudah kalah. Pada ketika itu televisyen di seluruh negara mengatakan saya kalah, ‘kecundangnya di kubu kuatnya di Permatang Pauh’ kata mereka. Selepas kiraan semula pada malam itu, saya bertemu pengundi di satu ceramah dan saya berkata, ‘malam ini berbalaslah rasa kasih Anwar Ibrahim kepada Permatang Pauh dan Permatang Pauh kepada Anwar Ibrahim’.

SELEPAS PERMATANG PAUH

Apakah perancangan Dato’ Seri setelah secara rasmi mengakhiri tugas sebagai wakil rakyat Permatang Pauh secara rasmi?

Saya masih lagi menjadi Pengerusi Yayasan Aman dan juga Presiden KeADILan dan saya akan jalankan tugas seperti biasa. Dato’ Seri Anwar adalah Ketua Umum parti dan saya akan terus membantu beliau.
Kita percaya kepada “collective leadership” dan kita juga merupakan parti pelbagai etnik dan aspek ini penting dalam perjuangan kami.Satu lagi tugas saya ialah sebagai seorang isteri, ibu kepada anak-anak saya dan juga nenek.

Adakah Dato’ Seri akan kerap melawat Permatang Pauh walaupun sudah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat?

Saya rasa ada talian yang kuat di antara kami. Kemesraan antara saya dan pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan berterusan sampai bila-bila dan jikalau Dato’ Seri Anwar tidak dapat balik ke Permatang Pauh saya boleh mewakili beliau dan bertemu rakyat Permatang Pauh dan ini tidak menjadi masalah kepada saya.

KONSPIRASI KEDUA

Apa pandangan Dato’ Seri mengenai konspirasi kedua terhadap Dato’ Seri Anwar dalam usaha menghalang beliau memimpin Malaysia?

Ada juga perasaan begitu tetapi sekarang ini rakyat lebih faham dan tahu bahawa ia adalah secara terang satu konspirasi. Mereka sudah tidak ada apa-apa lagi untuk menuduh Anwar. Apa yang mereka ada? Rasuah yang mereka cari sudah bertahun-tahun tetapi tidak jumpa dan jika ada sudah pasti ada kes terhadap Dato’ Seri Anwar.
Skandal dengan perempuan? Masa dahulu mereka tuduh beliau dengan wanita Mexicolah, Latinolah tetapi semuanya tidak ada asas dan bukti. Kes liwat juga telah digugurkan. Ini memang jelas konspirasi dan kami sudah bersedia untuk menghada-pinya, insyaAllah.

Adakah Dato’ Seri berasa takut dengan khabar angin yang mengatakan bahawa Dato’ Seri Anwar akan ditangkap dalam masa terdekat ini?

Kita memang ketahui mengenai khabar angin ini dan wartawan pun telah mula berkampung di hadapan rumah kami kerana mereka telah diarahkan oleh editor masing-masing untuk mendapatkan berita penangkapan semula Dato’ Seri Anwar.Dahulu beliau ditangkap ala “Rambo”.

Kami melihat helikopter berlegar-legar di ruang udara sekitar rumah kami. Kami telah berbincang mengenai langkah yang perlu diambil sekiranya penangkapan ini benar-benar terjadi.

Sekiranya Dato’ Seri Anwar ditangkap dan didakwa tanpa jaminan tetapi menurut undang-undang beliau masih boleh bertan-ding seperti saudara Manoharan yang menang bertanding di Kota Alam Shah walaupun menjadi tahanan ISA. Jadi kita boleh mengisi borang pencalonan dan hantar melalui peguam bagi memastikan Dato’ Seri Anwar dapat bertanding.

MASA BERSAMA KELUARGA

Apakah perasaan Dato’ Seri sekarang setelah dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak dan juga cucu?

Alhamdullilah, saya berasa amat bersyukur sebab dapat peluang ini sekarang. Kalau tunggu lama lagi mungkin saya sudah tak bertenaga lagi tetapi sekarang ini saya masih bertenaga dan boleh bermain dengan cucu dan meluangkan lebih masa dengan anak-anak. Satu hari nanti kita bangun tidur dan melihat anak-anak kita semuanya sudah besar dan tiada siapa lagi yang tinggal bersama kita. Masa itu kita akan berkata, “Ya Allah, masa berlalu begitu pantas sekali dan saya terlepas peluang untuk bersama anak-anak dan cucu” tetapi sekarang ini saya masih berpeluang.

Soalan terakhir buat Dato’ Seri, kalaulah ditakdirkan Dato’ Seri Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam masa terdekat ini, adakah Dato’ Seri bersedia menjadi ‘First Lady’ atau Wanita Pertama?

Saya rasa walau apa pun peranan saya, insyallah, sebagai isteri itu adalah keutamaan dan juga sebagai ibu. Kalaupun beliau tidak menjadi sesiapa-pun, kalau beliau seorang banduan sekali pun, saya masih lagi menjadi isteri dan ibu, itu yang terpenting.

Kalau saya fikirkan tentang nama dan status sebagai Wanita Pertama Malaysia, itu sudah menjadi rumit dan niat sudah menjadi lain, saya rasa saya tidak mahu fikirkan tentang perkara itu buat masa ini.


Tuesday, August 12, 2008

"Jangan kacau UiTM", Naib Canselor UiTM

Oleh Bernama
Rabu, 13 Ogos 2008

SA: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah meminta Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak mencampuri dan mengacau pentadbiran pusat pengajian tinggi itu.

Dalam nada keras beliau berkata Abdul Khalid boleh menggunakan Universiti Industri Selangor (UNISEL), kolej-kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain jika mahu menolong golongan bukan Bumiputera tetapi jangan kacau UiTM.

UiTM merupakan satu-satunya institusi terakhir bagi orang Melayu untuk mengubah nasib mereka menerusi pendidikan dan tidak ada sebab mengapa ada pihak cuba mencampuri atau mengacau pentadbirannya selama ini, katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Khalid pada Ahad lepas supaya 10 peratus kuota kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing, adalah berunsur politik semata-mata.

Dr Ibrahim berpendapat Menteri Besar Selangor menggunakan isu itu bagi meraih sokongan orang bukan Melayu, seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat ini baik dan hendak menolong golongan berkenaan yang mungkin tidak faham mengenai penubuhan UiTM.

"UiTM merupakan salah satu daripada hak-hak istimewa orang Melayu di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Canselornya ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri.

"Apa yang pelik ialah isu pembukaan (kemasukan) ke institusi pengajian untuk Bumiputera ini kepada bangsa asing dibangkitkan oleh seorang Melayu sendiri, bukannya bangsa asing," katanya.

Pendapat Abdul Khalid bahawa cadangannya itu akan dapat menjadikan para pelajar UiTM lebih mesra kepada masyarakat berbilang bangsa di luar kehidupan kampus, menyediakan mereka kepada suasana pekerjaan dan meningkatkan daya saing, kata Dr Ibrahim hanya merupakan pandangan dan bukannya fakta.

Naib Canselor itu berkata ini kerana pelajar UiTM merupakan antara graduan pilihan majikan terutama swasta baik dari dalam negara mahupun antarabangsa dan sebilangan daripada mereka kini menjadi pemimpin dalam sektor korporat.

"Jika mereka tidak boleh bergaul dan bekerja dengan bangsa asing di sektor pekerjaan bagaimana mereka dapat pergi jauh di dalam kerjaya mereka dan perlu diingat 12 peratus daripada tenaga pengajar UiTM ini adalah bangsa asing dan mereka dihormati dan disenangi oleh para pelajar Bumiputera di dalam institusi ini," katanya.

Dr Ibrahim berkata jika dirangkumkan semua kaum Bumiputera yang menuntut di seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan universiti di luar negara, pelajar UiTM hanyalah 35 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar universiti di Malaysia dan ini menunjukkan orang Melayu masih ketinggalan berbanding dengan kaum lain.

"Kes dia ini (Abdul Khalid) pada anggapan saya mungkin ada kaitan dengan pilihan raya kecil akan datang di Pulau Pinang (Parlimen Parmatang Pauh) supaya semua orang Melayu menyokong Anwar (Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan menang agaknya.

"Saya mungkin silap (tetapi) rayuan saya kepada rakan-rakan bukan Melayu supaya jangan mudah terpengaruh dan jangan berfikir secara sempit," katanya.

Dr Ibrahim juga berkata kira-kira 5,000 pelajar UiTM telah berhimpun di depan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pagi tadi bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka mengenai isu itu kepada Menteri Besar Selangor.

Katanya memorandum itu diserahkan oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Luqmanulhakim Mohd Idris kepada Pegawai Berita Menteri Besar Selangor, Hazril Abu Hassan.

Dr Ibrahim percaya kira-kira 119,000 penuntut UiTM di seluruh negara dan 350,000 ahli alumninya juga tersinggung atau marah dengan kenyataan Abdul Khalid.

"Insya Allah saya akan mengadap Canselor (UiTM) Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memaklumkan baginda mengenai perkembangan ini," katanya.