Oleh Mstar
Sabtu, 02 Ogos 2008
DI sebalik pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi memutuskan tarikh pilihan raya kecil, bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor hari ini meramalkan bekas 'ketuanya' itu berpeluang untuk kembali menyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.
“Anwar punya peluang untuk menang di Permatang Pauh kerana itu kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini,” kata beliau kepada mStar Online hari ini.
Bagaimanapun Umno Permatang Pauh pula mahu "anak Permatang Pauh menjadi calon" kerana Ezam yang menyertai semula Umno tiga bulan lalu belum dapat diterima sepenuhnya oleh penduduk kawasan berkenaan.
Anwar, yang pernah menyandang kerusi Parlimen itu dari 1982 hingga 1999 mengumumkan pendiriannya untuk bertanding semula di kawasan itu selepas isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan berkuat kuasa semalam.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pula memberitahu mStar Online pihaknya sudah menerima notis makluman mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh hari ini.
"Notis sudah diterima. Kita akan tentukan tarikh pilihan raya pertengahan minggu depan," kata beliau.
Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam 60 hari selepas kekosongan berkuat kuasa.
Dr. Wan Azizah yang juga Presiden PKR memutuskan untuk mengosongkan kerusi berkenaan selepas disandang sejak 1999.
Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd. Noor memberitahu Bernama, mesyuarat minggu depan akan turut menetapkan tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan raya, tarikh mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti.
Lazimnya penamaan calon diadakan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari selepas writ pilihan raya dikeluarkan.
Dan, jika tempoh berkempen adalah lapan atau sembilan hari, pilihan raya kecil itu - yang merupakan pertama selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu - kemungkinan diadakan minggu terakhir bulan ini.
SPR memperuntukkan 13 hari untuk berkempen ketika pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.
Dalam pilihan raya 8 Mac lalu, Dr. Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 13,388.
Sementara itu, Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata: "Kami mahu anak Permatang Pauh menjadi calon."
Ekoran pengumuman Anwar semalam, terdapat cadangan supaya Ezam bertanding di situ sebagai calon BN berdasarkan kepada pengetahuan beliau mengenai bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Anwar sudah bertapak di Permatang Pauh sejak 1982 dan agak susah untuk memperkenalkan calon baru yang bukan anak tempatan dalam masa yang singkat kerana masyarakat di sini begitu mementingkan faktor orang yang mereka kenal atau tahu," kata Abdul Jalil dipetik Bernama di Butterworth.
Beliau berkata, calon BN itu mestilah orang yang boleh berkhidmat kepada masyarakat dan mengambil berat kesusahan mereka.
Mengenai persiapan, Abdul Jalil berkata, sebaik saja selesai pilihan raya umum 8 Mac lepas, Umno Bahagian Permatang Pauh sebenar sudahpun mengerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil di situ kerana menjangkakan Dr. Wan Azizah memang akan mengosongkan kerusi itu untuk Anwar.
"Kita tidak terkejut dengan pengumuman Dr. Wan Azizah itu kerana semasa berkempen pada pilihan raya umum dulu beliau sudah memberitahu mengenai perkara ini. Jadi, persiapan kita memang telah bermula awal lagi," katanya.
Abdul Jalil berkata, Umno bahagian itu telah mengadakan majlis penerangan di semua 92 cawangannya sejak dua minggu selepas pilihan raya umum selesai bagi menghadapi kemungkinan ini.
"Kursus pilihan raya juga telah diadakan untuk pergerakan Puteri dan Wanita sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian. Insya-Allah, persediaan kita sudah teratur," katanya.
Beliau berkata, dengan bantuan dan kerjasama parti komponen BN yang lain, "pertembungan" yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Permatang Pauh nanti dapat ditempuhi dengan lancar.
Abdul Jalil berkata, sejak kawasan itu diwakili Dr. Wan Azizah, penduduk Permatang Pauh "letih" menghadapi kerenah pemimpin parti itu yang hanya memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan menyekat kemajuan dan pembangunan di kawasan berkenaan.
"Cukuplah kesusahan yang telah kita lalui. Hanya kerana hendak memperjuangkan Anwar seorang, orang lain terpaksa mendapat susah.
"Buktinya, penat lelah menghadapi pilihan raya umum belumpun reda, kita terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya. Semua orang akan mendapat susah kerana dia. Ini bukan perjuangan untuk rakyat tetapi perjuangan peribadi," katanya.
Walaupun mengakui pertandingan kali ini memang sukar, Abdul Jalil berkata, Umno yakin dapat memenangi hati rakyat menerusi usaha dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu untuk membela nasib rakyat.
Ketika diminta mengulas lanjut, Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda PKR menegaskan, beliau akan berjuang habis-habisan menentang bekas majikannya itu tidak kira sama ada beliau dicalonkan atau tidak.
“Saya akan turun padang dan membantu jentera Umno dan Barisan Nasional. Saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pengundi di Permatang Pauh tentang permainan politik Anwar,” katanya.
Semalam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mohd Khalid Ibrahim menggesa Umno meletakkan Ezam sebagai calon untuk menentang Anwar di Permatang Pauh.
Ketika ditanya sama ada beliau sedia memikul tanggungjawab itu, beliau berkata:
“Saya tidak boleh buat keputusan untuk betanding di sana. Semuanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti dan Umno Bahagian Permatang Pauh.”
Tambah Ezam, Penasihat PKR itu perlu menang di Permatang Pauh bagi menghidupkan karier politknya.
Ezam yang juga bekas Pengerusi Gerak berkata, Anwar sememangnya menggunakan peluang bertanding dalam pilihan raya kecil ini untuk kembali ke Parlimen.
Ditanya adakah BN akan merasa terancam sebaik Anwar kembali ke Parlimen Ezam berkata:
“Anwar akan kembali ke Parlimen, namun dia hanya berdiri atas tiket PKR dan BN tidak akan terancam kerana tiada pertambahan kerusi di pihak pembangkang.”
Ketika ditanya adakah beliau percaya mengenai cita-cita Anwar untuk membentuk kerajaan pusat yang baru menjelang 16 September ini, Ezam menjelaskan, ia hanya satu gimik politik Anwar.
“Kalau betul ada ahli Parlimen BN nak lompat parti, mengapa perlu tunggu Anwar ke Parlimen. Sekarang pun boleh,” ujarnya sinis.
No comments:
Post a Comment
Comment and Critique