Friday, August 22, 2008

Diesel turun 8sen/liter, harga barang?

Oleh Bernama
Sabtu, 23 Ogos 2008

PUTRAJAYA: Penurunan harga runcit petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan hari ini bukan satu gimik politik dan tiada kaitan dengan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

"Kalau tidak ada pilihan raya kecil itu pun kerajaan tetap akan umumkan penurunan harga minyak malah kerajaan tidak dipengaruhi dengan apa yang berlaku di Permatang Pauh.


"Kita ikut apa yang kita telah putuskan dulu, harga runcit petrol dan diesel akan disemak setiap bulan dan formula yang kerajaan umum kalau ada penurunan yang berkesan tentunya kerajaan berminat untuk meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

Harga runcit diesel pula akan dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter mulai esok.

Ditanya sama ada akan terdapat lagi perubahan harga petrol dan diesel pada September depan, Shahrir berkata kaedah pelarasan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah buat pertama kali dan ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

"Memang kerajaan kalau boleh setiap masa nak sampaikan faedah penurunan harga minyak kepada rakyat, tetapi kita kena ambil pendekatan yang sesuai untuk semua rakyat dan juga industri petroleum," katanya.

Terdahulu, Shahrir berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh Januari hingga Julai meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 109.8 berbanding dengan 105.2 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata kenaikan paling ketara ialah indeks makanan dan minuman bukan alkohol iaitu sebanyak 6.9 peratus, pengangkutan (6.7 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain (1.4 peratus).

"Diharapkan dengan penurunan harga petrol itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan inflasi," katanya.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique