Oleh Bernama
Isnin, 04 Ogos 2008
KL: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata janji penasihat Parti Keadilan Rakyat untuk menurunkan harga petrol kepada RM2 seliter adalah "satu lagi contoh" pendekatan untuk menjadi popular.
"Sebarang (harga) adalah mungkin. Semuanya bergantung berapa banyak anda mahu peruntukkan untuk subsidi. Bil subsidi pun masa ini sudah terlalu besar," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas jaminan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga sekarang sebanyak 70 sen jika beliau memegang kuasa.
Terdahulu, Najib menyampaikan ucaptama pada persidangan Perkhidmatan Awam kali ke-13 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini.
"Kami boleh memberikan anda angka. Ia terlalu besar (jumlah subsisdi) dan sebenarnya trend di seluruh dunia bergerak lebih ke arah harga pasaran dunia, kata Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Minyak.
Najib berkata sebenarnya Anwar hanya "mencadangkan" tiga implikasi kepada negara ini.
"Implikasi pertama adalah bil subsidi akan menjadi amat besar untuk negara ini. Keduanya, kita sedang bergerak bertentangan dengan trend dunia. Ketiganya, ia mendorong kepada penggunaan yang lebih banyak dan mengurangkan pemuliharaan.
"Lebih banyak pembaziran akan berlaku kerana orang ramai menggunakan tenaga pada harga di bawah harga pasaran. Anda tidak mendidik masyarakat bahawa tenaga itu sebenarnya mahal dan ianya terbatas..dan bukannya tanpa batasan..ia tidak akan berterusan selama-lamanya," kata Najib.
Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat Rabu ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
No comments:
Post a Comment
Comment and Critique