Sunday, August 3, 2008

"Ini bukan kali pertama kita hadapi pilihan raya kecil" Najib

Oleh Bernama
Isnin, 04 Ogos 2008

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) sedang menimbangkan calon yang sesuai untuk bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh nanti.

Timbalan Perdana Menteri berkata ketika ini Umno dan BN sedang menilai pandangan daripada Umno Bahagian Permatang Pauh serta pandangan umum mengenai calon yang layak untuk diketengahkan.

"Kita sedang menerima pandangan, satu pandangan dari bahagian (Umno Permatang Pauh) dan satu lagi pandangan masyarakat umum itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan pertandingan Memancing Karnival GP Joran, di sini Ahad.

Ditanya kenyataan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor sejak kebelakangan ini dilihat seperti menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi mewakili BN, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata:

"(Soal) Calon itu nantilah, bila sampai masanya, usah kita buat spekulasi, peringkat sekarang ini, kita tak tahu apa apa keputusan terbaik, kita mesti ada pertimbangan, kita hendak tentukan kriteria dari segi calon (yang sesuai) dalam konteks pilihan raya (kecil) Permatang Pauh."

Mengenai persiapan BN untuk menghadapi pilihan raya kecil itu, Najib berkata BN akan membuat persiapan seperti biasa kerana ini bukan kali pertama BN menghadapi pilihan raya kecil.

"Ini bukan kali pertama kita hadapi pilihan raya kecil, jadi kita akan buat persiapan secukupnya untuk hadapi pilihan raya ini, terutamanya sekali dari segi jentera, saya difahamkan umpamanya Wanita Umno telahpun mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan soal persiapan Wanita menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya.

Ditanya sama ada pilihan raya kecil itu kelak akan jadi pengukur kepada sokongan rakyat kepada BN selepas pilihan raya umum Mac lepas, Najib berkata:

"Pilihan raya kecil ini tidak boleh dianggap sebagai ukuran mutlak sebab pilihan raya kecil biasanya bersifat setempat, banyak pertimbangan atas isu-isu tempatan, atau atas isu-isu tertentu yang mungkin tidak ada kaitan dalam konteks nasional.

"Walaupun saya sedar, langkah Datuk seri Anwar Ibrahim untuk bertanding ini untuk membawanya sebagai isu nasional," katanya.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong selepas penyandangnya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta pada Khamis lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan Parlimen berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique