Oleh Darwis Said
Isnin, 25 Ogos 2008
BEBERAPA pengundi didakwa cuba dipikat dengan ganjaran wang di sekurang-kurangnya empat kedai kopi di seluruh kawasan undi Permatang Pauh.
Ini bagi membantu 'pihak lawan' mengurangkan jumlah undi majoriti yang bakal diraih calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika beliau memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh esok.
Jika mereka dapat membantu menggagalkan cita-cita Datuk Seri Anwar, maka ganjaran mereka akan lebih besar lagi, demikian pendedahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.
Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, berkata bakal pengundi ditawarkan RM200 jika Datuk Seri Anwar meraih majoriti kurang 10,000 undian, RM500 jika Penasihat PKR itu meraih majoriti kurang 5,000 undian dan RM1,000 jika Penasihat PKR itu kalah.
Beliau sudah ada bukti berhubung dakwaannya itu - satu senarai kira-kira 200 nama dan nombor kad pengenalan (I/C) yang dirampas daripada seorang lelaki di sebuah kedai kopi di Penanti kelmarin.
'Semua nama orang yang ditulis merupakan pengundi atau penduduk yang tidak mengundi. Mereka dijanjikan akan dapat RM200 kalau undi Anwar kurang daripada 10,000.
'Dan, kita dapati sekurang-kurangnya empat tempat. Kerja ini dibuat di kedai kopi tetapi atas keselamatan pemiliknya saya tidak dedahkan kepada pihak media identiti kedai-kedai kopi itu,' kata Tian Chua, pada satu sidang media di Yayasan Aman, dekat Pekan Penanti, Pulau Pinang.
'Namun, kita sudah catatkan nama kedai-kedai itu, dan ada kemungkinan kita akan ambil tindakan selanjutnya,' tegas beliau.
Menurut Tian Chua, perbuatan mereka itu seolah-olah seperti bertaruh 'tetapi tanpa transaksi wang'.
'Jadi, ini satu bentuk rasuah,' ujarnya sambil menambah bahawa para pengundi dijanjikan bayarannya sehari selepas keputusan pilihan raya diumumkan esok, dengan jumlahganjarannya akan bergantung kepada keputusannya.
'Jelas, ini adalah satu cara memujuk mereka (pengundi) kurangkan undi atau tidak mengundi Anwar Ibrahim dengan menawarkan sekurang-kurangnya RM200,' kata Tian Chua.
Menurutnya, kegiatan itu dijalankan ala sistem bookie secara terbuka oleh 'ejen-ejen Barisan Nasional (BN)' yang memegang jawatan dalam cawangan 'parti Cina' dalam BN.
'Ini satu pelanggaran undang-undang pilihan raya,' tegas Tian Chua.
Mantan timbalan perdana menteri Malaysia itu akan menentang Datuk Arif Shah Omar Shah, calon BN dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya. Seorang lagi calon, Hanafi Hamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), turut bertanding.
No comments:
Post a Comment
Comment and Critique