Oleh Mstar
Rabu, 13 Ogos 2008
DI sebalik perarakan membabitkan hampir 8,000 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera, Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor hari ini mempertahankan pendirian mereka mengenai statusnya.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, UiTM sendiri yang mempunyai kuasa dan hak dalam menentukan dasar pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi itu.
Abdullah berkata, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai kuasa untuk mencadangkan supaya kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera.
Ini bukan dia punya kuasa. Hal yang berkaitan dengan pengambilan (pelajar) adalah hal yang berkaitan dengan institusi pengajian yang berkenaan," kata beliau selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang, Selangor.
Dalam pada itu, Khalid pula berkata, syor supaya UiTM dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera dibuat dengan niat yang baik demi kepentingan semua pihak.
Kata Khalid, beliau memang sedar pihaknya tiada kuasa untuk menentukan kuota pengambilan penuntut bukan Bumiputera belajar di UiTM.
"Saya sedar UiTM sudahpun mengambil pelajar bukan Melayu dan kebanyakannya adalah dari luar negara," katanya selepas menghadiri sesi dialog belanjawan negeri di Subang Jaya hari ini.
Dengan menetapkan kuota, jelas beliau, ia boleh dilakukan dengan sistematik manakala bukan Bumiputera pula akan jelas tentang peluang menyertai UiTM.
"Saya tidak melihat apa-apa kekurangan jika membuka institut ini kepada semua dan saya juga tidak merasakan satu kesalahan bagi saya memberikan pandangan sedemikian," katanya lagi.
Sehubungan itu, kata Khalid, kerajaan negeri Selangor juga bersedia menemui wakil penuntut UiTM untuk menjelaskan pendirian tersebut.
"Kami mahu pelajar mengetahui pendirian kami dan kami menjemput mereka untuk taklimat (daripada kami).
"Kami juga bersedia ke UiTM dan memberikan taklimat di sana jika tiada halangan ke atas kami," tambah beliau.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.
Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.
Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.
Beliau melahirkan pandangan itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu 'dibuka' kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.
Bagaimanapun, kata Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.
Pagi tadi hampir 8,000 penuntut UiTM berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam bagi membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut, berusia lebih lima dekad, dibuka kepada bukan Bumiputera.
Tinjauan mStar Online mendapati penuntut UiTM telah mula berkumpul sejak 7.30 pagi untuk bergerak secara konvoi - menaiki bas UiTM, kereta dan menunggang motosikal bagi melahirkan pendirian bantahan mereka.
Pada awalnya pihak penganjur menjangkakan kira-kira 2,000 orang sahaja akan menyertai perarakan tersebut.
Perarakan yang diberi nama "Perhimpunan UiTM Di Hatiku" telah menyerahkan memorandum membantah syor tersebut kepada wakil Menteri Besar Selangor.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Selangor pukul 10 pagi.
"Kami mendesak agar Menteri Besar memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut (syor 10 peratus tempat di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera)," katanya.
Tindakan susulan termasuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri dan Canselor UiTM akan ditentukan selepas reaksi Khalid, kata beliau.
“Kita telah merancang pelan tindakan secara terpeinci. Susulan fasa kedua dan ketiga akan diteruskan termasuk memohon perkenan Tuanku Canselor (Tuanku Mizan Zainal Abidin) bertitah agar UiTM tidak diganggu,” katanya.
Luqmannulhakim berkata pergerakan bantahan hari ini bukanlah atas desakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah atau mana-mana parti politik.
Tambah beliau agar isu pembukaan UiTM kepada bukan bumiputera tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk meraih simpati dan juga undi dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan nanti.
“Kita melihat ini adalah taktik pihak tertentu menjelang pilihan raya kecil di Permatang Pauh nanti.
“Sekiranya tujuannya ialah untuk itu (politik), maka tolonglah hentikan kerana telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan khas untuk Bumiputera,” katanya.
Diminta mengulas mengenai pendapat yang mengatakan percampuran pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera akan mewujudkan satu persaingan yang sihat, beliau tidak bersetuju dengan pendapat itu.
“Saya amat tidak bersetuju kerana telah terbukti seperti apa yang berlaku di universiti-universiti lain setiap kaum tertentu hanya akan bergaul dengan kaum mereka sendiri.
“Ini bukan persaingan yang sihat. Keadaan ini lebih bahaya jika wujudnya perasaan mementingkan kaum sendiri walaupun belajar dalam satu institusi,” katanya.
Tegas beliau walaupun UiTM terdiri daripada kaum Bumiputera sahaja, tetapi para pelajarnya telah dididik untuk menghormati agama, adat dan kepercayaan kaum lain.
Diminta mengulas mengenai pembukaan UiTM kepada pelajar antarabangsa, beliau berkata tindakan itu adalah bagi kepentingan jangka masa panjang.
“Kepentingan kita diperingkat pelajar sekarang ialah agar dapat mewujudkan jaringan hubungan dua hala dengan pelajar antarabangsa pada masa-masa akan datang,” katanya.
Dr. Ibrahim dijadual mengadakan sidang media di pejabatnya di Shah Alam pada pukul 2 petang ini.
Sementara itu, penuntut UiTM yang membanjiri perkarangan Bangunan SUK bersorak melaungkan kata-kata seperti "Selamatkan UiTM", "UiTM Untuk Bumiputera" serta "Hidup UiTM".
Mereka juga memegang sepanduk yang bertulis "Kami Pertahankan Hak Bumiputera", "Kami Bantah Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera" serta "UiTM Hak Bumiputera".
Pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Ibrahim bagi memaklumkan tindakan mereka pagi ini.
Ketika dihubungi malam tadi, Luqmannulhakim berkata: "Kami komuniti pelajar UiTM membantah keras pandangan (membuka UiTM) sedemikian."
"Kami mendapati alasan bahawa tindakan mengkhaskan UiTM hanya kepada masyarakat Bumiputera menyebabkan pelajar Bumiputera kurang berinteraksi dan sebagainya adalah tidak benar," kata beliau.
Malah, pada pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bagi memaklumkan tindakan mereka.
Kata Luqmannulhakim, pada pertemuan itu pengurusan tidak menghalang MPP untuk mengambil langkah sedemikian.
Malah, tindakan ini hanya disertai pelajar UiTM, bukannya pengurusan dan kakitangan.
"Kami difahamkan pengurusan UiTM akan mengeluarkan kenyataan kemudian," katanya.
Perarakan menyerahkan memorandum itu kepada kerajaan negeri merupakan langkah pertama, kata beliau.
"Selepas ini kami akan menyerahkan memorandum yang serupa kepada Perdana Menteri dan kemudian Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM. Ini akan dilakukan minggu depan," katanya.
Mengulas lanjut, kata Luqmannulhakim, pihaknya akan menghimpunkan penuntut-penuntut UiTM di kampus induk di Shah Alam awal pagi esok sebelum berarak ke Bangunan SUK.
"Sehingga malam ini (Isnin) kami sudah memperoleh tandatangan menyokong memorandum bantahan daripada lebih 5,000 pelajar dan ia mungkin akan mencecah 10,000 orang esok," katanya.
Kata Luqmannulhakim, pendirian kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar yang meminta 10 peratus diperuntukkan kepada penuntut bukan Bumiputera dan rakyat asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.
“Memorandum ini bertujuan meminta beliau (Menteri Besar Selangor) menarik balik kenyataannya kerana bertentangan dengan prinsip penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan profesional di kalangan Bumiputera,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Comment and Critique