Wednesday, August 6, 2008

Piala Monsun: "Saya tak mahu komenlah", Ahmad Said

Oleh Bernama
Rabu, 06 Ogos 2008

KT: Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said hari ini enggan mengulas kenyataannya sebelum ini yang menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dengan penganjuran kejohanan kapal layar Piala Monsun dan Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.

Sebaliknya, beliau menyerahkan perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat lebih terperinci tentang hal tersebut.

"Setakat ini saya tak mahu komenlah...tunggulah masa yang sesuai barangkali bila BPR panggil, saya beri tahu mereka apa yang sepatutnya," katanya kepada pemberita setibanya kembali di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini dari mengerjakan umrah hampir dua minggu.

Lebih 500 orang termasuk beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) menyambut ketibaan beliau. Turut kelihatan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Rosli Mat Hassan.

Ahmad pada sidang akhbar 27 Julai mengeluarkan kenyataan meminta BPR agar tidak memilih tempat dengan hanya menyiasat kes penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive kerajaan Terengganu yang dilaporkan mencecah kos RM1.07 juta.

Sebaliknya, beliau meminta BPR turut menyiasat pelaksanaan projek Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dan Kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong.

Kenyataan beliau itu telah menyebabkan Dewan Pemuda Pas serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu membuat laporan dan menyerahkan memorandum kepada BPR pada 29 Julai meminta badan berkenaan menyiasat keduadua projek berkenaan.

Berikutan itu, Pengarah BPR negeri Sharuddin Sapian berkata badan berkenaan akan menyiasat dakwaan itu.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique