Sunday, August 3, 2008

"Rebut jawatan seperti dunia akan kiamat esok hari", Syed Hamid

Oleh Bernama
Isnin, 04 Ogos 2008

KOTA TINGGI: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar mendakwa pelbagai cara digunakan di dalam pertandingan sengit merebut jawatan di dalam parti pada masa ini, termasuk politik wang, maki-hamun dan ancaman.

Syed Hamid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata perkara-perkara negatif yang berlaku pada ketika ini diibaratkan seperti "penyakit barah" yang boleh menghancurkan Umno.

"Pertandingan kali ini sengit, nampak bersungguh-sungguh ada kemaruk. Kita hendak berperang sesama sendiri, bukan sahaja politik wang tetapi ada juga yang menggunakan pengaruh luar dan ancaman.

"Kita sama kita tak betul, maki-hamun dan jemput orang luar untuk maki-hamun. Tak pernah saya lihat (sebelum ini)," dakwa Syed Hamid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Felda Aping Barat di sini.

Syed Hamid, yang juga Anggota Parlimen Kota Tinggi, berkata pertandingan yang amat sengit bagi merebut jawatan parti pada ketika ini boleh diibaratkan seolah-olah "dunia akan kiamat esok hari" akan hanya menyukarkan usaha menyatupadukan parti.

"Saya takut bila sudah habis pemilihan, macam mana kita hendak baikkan kedua-dua pihak?" katanya.

Menurutnya sebarang pertandingan di dalam parti perlu dijalankan di dalam suasana seperti di dalam sebuah keluarga untuk memastikan perpaduan Umno tidak terjejas.

"Apa sekalipun yang kita buat (di dalam pertandingan Umno), perkara yang perlu kita pastikan adalah Umno itu menang pada akhirnya. Janganlah kita anggap pertandingan itu seperti dunia akan kiamat, seperti esok tiada lagi," katanya.

Tingkah laku anggota dan pemimpin Umno ketika menghadapi musim pemilihan kali ini, katanya sedang diperhatikan oleh pihak ketiga dan masyarakat umum.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique