Saturday, August 2, 2008

Antara Debat dan Demonstrasi

Oleh Bernama
Ahad, 03 Ogos 2008

DUNGUN: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan program debat sebagai platform bagi membincangkan serta menjelaskan pelbagai isu untuk difahami oleh rakyat.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bukan sahaja dapat menjelaskan secara terperinci sesuatu isu berkenaan, malah dapat mengelakkan pihak-pihak tertentu daripada mengadakan protes atau demonstrasi yang boleh memburukkan keadaan.

Bagaimanapun, beliau berkata sama ada debat itu akan dijadikan program tetap bergantung kepada sejauh mana rakyat dapat menerimanya sebagai sebuah institusi atau gelanggang bagi menyatakan perbezaan pendapat terhadap sesuatu perkara tersebut.

"Ya (perkara ini akan dibawa ke Kabinet). Dulu debat ini dianjurkan oleh badan lain...bukan kerajaan. Di Amerika Syarikat, debat ini sudah menjadi sebuah institusi dalam masyarakat. Kalau (rakyat) nak tengok beberapa isu, mereka boleh lihat debat ini dan bertanya.

"Dalam konteks negara kita, perdebatan (yang diadakan baru-baru ini) adalah sebagai percubaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya, dekat sini hari Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mencontohi Amerika Syarikat, yang menganjurkan debat bagi membolehkan rakyat mendapat penjelasan dan membuat penilaian terhadap sesuatu isu.

Pada 15 Julai lepas, Ahmad Shabery berdebat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tajuk "Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" yang dianjurkan oleh Agendadaily di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di beberapa saluran televisyen tempatan.

Ahmad Shabery berkata debat itu seharusnya dilihat secara positif oleh rakyat kerana ia lebih bertamadun berbanding demonstrasi.

"Pada masa debat (antara saya dan Anwar) rakyat tidak melihat secara positif institusi debat itu. Mereka lihat siapa menang atau kalah pada masa debat itu diadakan. Jadinya, kalau orang melihat tentang perkara itu, akan berlaku keadaan tidak terkawal di peringkat bawah," katanya.

Mengenai pengumuman kerajaan bahawa harga runcit petrol akan diselaraskan berdasarkan harga pasaran purata bulanan minyak mulai 1 Sept ini, Ahmad Shabery meminta rakyat bersedia bahawa kehidupan mereka banyak ditentukan oleh kenaikan dan penurunan harga minyak dunia.

"Kerajaan akan terus terangkan mengenai perkara ini. Malah daripada maklum balas (sebelum ini akibat kenaikan harga minyak) rakyat semakin menerima kerana kenaikan itu adalah masalah global," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan semalam berkata harga runcit baru petrol akan ditetapkan pada 1 haribulan setiap bulan.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique