Wednesday, August 20, 2008

'Datuk' Lee Chong Wei

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Jaguh badminton negara Lee Chong Wei akan bergelar Datuk pada 30 Ogos ini apabila dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) oleh kerajaan Pulau Pinang yang bangga dengan kejayaan beliau meraih pingat perak di Sukan Olimpik Beijing pada Ahad lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng memberitahu sidang akhbar di sini hari ini bahawa walaupun rakyat Malaysia kecewa Chong Wei gagal memenangi emas, namun kejayaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu telah membawa kegembiraan di peringkat negeri dan negara.

Katanya persetujuan untuk memberi anugerah itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas semalam.

"Kerajaan negeri berharap anugerah ini akan menjadi satu perangsang kepada Chong Wei untuk mencapai kejayaan lebih besar untuk negeri dan negara," kata Lim.

Dalam perlawanan akhir acara perseorangan, Chong Wei tewas 21-12, 21-8 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China, sekaligus menghampakan harapan rakyat Malaysia untuk melihat seorang atlit negara ini membawa pulang pingat emas pertama daripada Sukan Olimpik.

Chong Wei, 26, anak kelahiran Bukit Mertajam, adalah ahli sukan kedua dari Pulau Pinang yang mendapat gelaran Datuk dalam tempoh dua bulan ini, selepas jaguh skuasy dunia Nicol Ann David diberi gelaran serupa sempena ulang tahun hari jadi Yang Dipertua Negeri pada 12 Julai.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique