Oleh Bernama
Isnin, 25 Ogos 2008
SERI ISKANDAR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata penurunan harga minyak yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa semalam sudah mencukupi untuk rakyat Malaysia.
Dr Mahathir yang juga penasihat Petronas berkata rakyat perlu memahami keadaan semasa pasaran minyak dan tidak perlu meminta harga komoditi itu diturunkan lagi.
"(Harga) sudah turun. Apa minta lagi. Cukuplah. Naik banyak, turun sikit. Kalau turun terlalu banyak, susah untuk dinaikkan semula," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Kelapan di sini hari ini.
Dr Mahathir ialah Canselor UTP.
Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penurunan harga runcit petrol sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 turun 22 sen daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.
Ketika ditanya mengenai tindakan pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali yang mengajak Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin bersumpah, Dr Mahathir berkata mereka tidak sepatutnya mempermain-mainkan soal bersumpah.
"Bersumpah adalah sesuatu yang amat serius. Mereka cuma ingin bersumpah untuk saling menyalahkan antara satu sama lain. Saya pun boleh bersumpah dahulu kerana banyak tuduhan dibuat ke atas saya tetapi saya biarkan rakyat yang menentukan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Comment and Critique