Friday, August 22, 2008

Sudah jelas Pas sokong Arif atau Anwar

Oleh Mstar
Sabtu, 23 Ogos 2008

PP: "Penyokong-penyokong PAS sudah mula berjauhan daripada PKR (di Permatang Pauh). Benar?" Ini antara kandungan mesej SMS diterima awal pagi semalam.

Apakah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat sebagai parti 'pilihan' berbanding Barisan Nasional (BN) akan memperoleh sokongan sepenuhnya dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebagaimana diperoleh 8 Mac lalu.

Calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah ketika diajukan perkara ini berkata, pihaknya ada mendengar mengenainya.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud petanda bahawa adanya sokongan daripada Pakatan Rakyat yang beralih kepada BN sejak beberapa hari yang lalu ekoran kempen tujuh strategi yang dilakukan oleh pihaknya.

Sehubungan itu beliau yakin lebih ramai penyokong Pakatan Rakyat, yang mengundi pembangkang lima bulan lalu, akan beralih kepada BN menjelang hari pengundian Selasa ini.

Bagi memperoleh peralihan sokongan itu berkembang, Arif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya mahu mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya yang mewakili kawasan Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman.

Permatang Pasir, Seberang Jaya dan Penanti merupakan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Permatang Pasir.

Hamdan merupakan wakil PAS manakala Penanti dimenangi PKR dalam pilian raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Rancangan Arif Shah ialah mengadakan satu bentuk 'kerjasama' dengan wakil wakyat PAS itu - memperoleh sokongan dan membawa pembangunan ke kawasan tersebut atas kapasiti (jika) dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimana pula dengan pendirian wakil rakyat PAS berkenaan dalam perkara ini?

Semasa melangkah ke pusat khidmat Hamdan di Permatang Pasir menunjukkan penyokong-penyokong PAS masih berpegang teguh dengan pendirian untuk menyokong calon PKR. Mereka aktif untuk menguruskan kempen mencari sokongan.

Ketua kumpulan peraih undi Permatang Pauh, Salmah Jaafar yang baru pulang daripada meraih undi percaya bahawa 80 peratus pengundinya akan mengundi PKR.

"Daripada tinjauan kami, 80:20 peratus sokongan, 80 peratus akan menyokong calon Pakatan Rakyat. Ini pasti. Berdasarkan tinjauan kami trend pilihan raya umum akan berulang," kata beliau yang mengaku isu Saiful tidak banyak mengubah sokongan.

"Selagi pemimpin PAS meminta kami menyokong dan mengundi PKR", pengundi-pengundi PAS dari Permatang Pasir akan mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata beliau.

Hamdan juga berpegang kepada pendirian pucuk kepimpinan yang telah meminta supaya memberikan undi kepada Anwar.

Di pejabatnya segala persiapan untuk menghadapi hari pengundian sudah berjalan lancar. Fail-fail yang diisikan dengan kalkulator dan segala dokumen berkaitan serta pas masuk pusat pengundian bagi ejen pekerja sudah diaturkan. Ini petanda sokongan padu PAS?

Hamdan, ADUN sejak 1999 berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengadakan perundingan atau perbincangan dengan Arif Shah pada waktu ini.

"Ini waktu peperangan (pertandingan), mana boleh diadakan perundingan," kata beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Permatang Pauh sambil mengakui Arif Shah juga kawannya.

Kira-kira 30 peratus pengundi di Permatang Pauh terdiri daripada penyokong PAS. Bermakna satu pertiga pengundi ialah ahli PAS.

Dari segi pecahan, Permatang Pasir terdiri daripada 20,350 pengundi; Penanti (15,421) dan Seberang Jaya (22,698).

PKR masih yakin bahawa pihaknya akan menerima sokongan bulat dan menyeluruh daripada PAS, kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi mStar Online.

"Sehingga pagi ini kami masih menerima sokongan padu, tiada petanda sedemikian (penyokong PAS mengalihkan sokongan)," daripada PKR, kata beliau.

"Malah kami mengadakan mesyuarat setiap malam dengan dihadiri oleh wakil-wakil PAS," katanya yang yakin dengan sokongan rakan mereka memandangkan ahli-ahli PAS "mempunyai disiplin mengikut arahan atau keputusan dibuat pucuk kepimpinan mereka."

Hari ini kempen masuk hari ketujuh dengan tinggal tiga hari pengundi Permatang Pauh akan menentukan Ahli Parlimen yang baru.

Setakat hari ini nampaknya tiada banyak perubahan dalam arah aliran sokongan PAS kepada PKR, anggota Pakatan Rakyat.

Dalam kempennya malam tadi di Seberang Jaya, Anwar, turun gelanggang untuk merampas balik kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang dari 1982 hingga 1999, mengisytiharkan beliau menerima sokongan padu pucuk kepimpinan PAS dan DAP.

Kempen itu diadakan bagi mendapatkan sokongan masyarakat India dan Cina di Seberang Jaya.

Tetapi dalam tempoh kira-kira 40 jam lagi apa pun boleh berlaku. Inilah politik.

Kempen mula masuk fasa agresif sejak malam tadi.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique