Wednesday, August 20, 2008

Lim VS Koh: Isu seleweng tanah 9 juta

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008

PP: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini membidas bekas ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mengaitkan bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes kegagalan kerajaan negeri dahulu menuntut baki bayaran penjualan tanah sebanyak RM9 juta dari sebuah syarikat di Pulau Jerejak.

Katanya, Koh kini cuba mengaitkan pihak lain sedangkan beliau (Lim) mempunyai bukti bahawa bekas ketua menteri itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk mendapatkan semula bayaran daripada syarikat itu walaupun selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan dipenjarakan.

Beliau berkata, siasatan mendapati bekas setiausaha sulit menteri kewangan, Anuar Shaari pernah menghantar sepucuk surat bertarikh 22 Mei 1998 kepada Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Lim berkata surat itu meminta PDC meneliti dan memaklumkan kepada kementerian mengenai cadangan syarikat berkenaan walaupun tempoh yang diberikan untuk pembayaran adalah selama enam tahun.

Katanya, malangnya Koh tidak mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat yang membeli tanah di Pulau Jerejak itu dengan harga RM29 juta dan tidak membayar baki RM9 juta sehingga sekarang.

Lim berkata, beliau terpaksa mendedahkan surat itu kepada media sebagai menyahut cabaran Koh yang mengaitkan kononnya tindakan beliau adalah atas arahan Anwar yang juga menteri kewangan ketika itu.

Esok Lim dan Koh akan berdebat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur mengenai isu penyelewengan tanah di Pulau Pinang.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique