Sunday, August 3, 2008

"Lawan Tetap Lawan", Nazri Aziz

Oleh Bernama
Ahad, 03 Ogos 2008

KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) tidak akan memberikan kemenangan percuma kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh yang kerusinya telah dikosongkan oleh isteri beliau yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak bersetuju dengan saranan pihak di dalam BN yang berpendapat bahawa BN tidak perlu meletakkan calon untuk bertanding di Permatang Pauh.

"Kita lawan tetap lawan. Saya anak jantan, mesti lawan namun nak bagi percuma (menang) tidak ada dalam kamus saya. Peluang (tipis atau cerah) tak kira, lawan tetap lawan. Kalau kita tak lawan, mengiyakan bahawa dia (Anwar Ibrahim) layak (untuk menang)," katanya.

Mengenai isu persepakatan antara Umno dengan PAS, Nazri berkata beliau bersetuju dengan pendapat Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa agenda yang lebih penting bagi Umno sekarang ialah untuk menumpukan kepada usaha memperkuatkan parti.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini dilaporkan sebagai berkata meskipun usaha bekerjasama dengan PAS adalah baik khususnya dalam berkongsi idea untuk memperjuangkan soal-soal pokok kedua-dua parti, namun agenda yang lebih penting dalam Umno sekarang ialah untuk memastikan ia terus kuat.

PAS telah menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan BN berhubung penubuhan kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique