Monday, August 18, 2008

"Pendidikan Seks di PLKN", Menteri

Oleh Bernama
Selasa, 19 Ogos 2008

KL: Slot pendidikan seks akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada sesi Januari 2009, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata modul pendidikan itu akan dilaksanakan melalui slot khas selama 10 jam di setiap kem PLKN.

Modul itu dikenali sebagai 'Self Preservation, Self Protection and Self Determination' di mana skop pengajarannya merangkumi nilai individu dan keluarga, pemahaman perubahan struktur badan secara fizikal (mengikut gender) dan emosi.

"Kita harus memberi pengajaran dan pengenalan tentang aspek-aspek ini supaya mereka lebih mengenali diri sendiri dan memahami masalah yang dihadapi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2008 di sini hari ini.

Ng berkata kebanyakan remaja mendapat pengetahuan seks daripada saluran tidak rasmi misalnya daripada perbualan dengan kawan dan maklumat daripada Internet.

"Sesetengah maklumat ini kurang tepat," katanya.

Ng berkata kementerian bercadang menubuhkan unit tugas khas untuk mewujudkan "modul kebapaan" bagi mengkaji peranan lelaki dalam keluarga dan membantu mereka menghadapi tekanan hidup serta mengawal emosi.

Menurut kajian, Lelaki didapati tidak begitu mahir menghadapi tekanan hidup berbanding wanita.

"Mereka enggan meminta bantuan daripada pakar runding sebaliknya menyimpan emosi sendiri sehingga akhirnya membawa kesan negatif seperti menimbulkan pelbagai masalah sosial," katanya.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique