Monday, August 25, 2008

"Tidak perlu cuti umum untuk PRK", Najib

Oleh Bernama
Isnin, 25 Ogos 2008

PP: Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan Selasa ini sebagai cuti umum di negeri itu sempena pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini pertimbangan politik sebenarnya dan tidak pernah dalam sejarah kita perisytiharan cuti umum dibuat untuk pilihan raya kecil," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Mengkuang Titi di sini.

Beliau berkata tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng itu tidak perlu kerana ia hanya melibatkan pilihan raya kecil parlimen sahaja dan bukannya seluruh Pulau Pinang.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata cuti khas itu bagi membolehkan kesemua 58,459 pengundi berdaftar Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu.

Najib berkata tindakan kerajaan negeri memberi cuti itu juga boleh menjejaskan pengeluaran negeri dan menyebabkan banyak kerugian.

Sepatutnya pekerja boleh dibenarkan untuk keluar sejam dua bagi membolehkan mereka mengundi dan menyambung semula kerja selepas itu, katanya.

Mengenai pilihan raya kecil itu, Najib berkata BN akan berusaha untuk melakukan kejutan politik di Permatang Pauh pada Selasa ini.

Katanya semua orang menjangkakan bahawa calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang tetapi dengan kegigihan jentera BN tidak mustahil kemenangan itu berpihak kepada BN.

Beliau berkata untuk menjadi seorang pemimpin negara, calon mestilah mempunyai kredibiliti yang baik, bersih daripada sebarang salah laku, jujur dan bertanggungjawab kepada kawasan yang diwakilinya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan anggota parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu.

Anwar ditentang oleh calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique