Monday, August 4, 2008

"Polis akan memastikan PRK lancar", Hamid Albar

Oleh Bernama
Selasa, 05 Ogos 2008

KL: Polis mungkin akan menempatkan lebih ramai anggotanya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamid Albar.

Beliau berkata ini kerana pilihan raya kecil itu dijangka panas dan menarik memandangkan ia melibatkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita jangkakan ia menarik dan panaslah. Tapi kami harap tiada kejadian tidak diigini berlaku.

"Polis akan memastikan pilihan raya kecil ini berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Kepimpinan Perkhidmatan Awam: Paradoks Kuasa dan Sifat" di Intan di sini, Isnin.

Suruhanjaya Pilihanraya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu pada Rabu. Pilihan raya kecil itu diadakan apabila presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh minggu lepas bagi memberi laluan untuk suaminya bertanding.

Terdahulu, Syed Hamid berkata perkhidmatan awam perlu memulakan program pembinaan keupayaan pada setiap masa sebagai persiapan melahirkan pemimpin yang cemerlang.

"Kerajaan mesti boleh melahirkan pemimpin yang mampu memberikan khidmat kepada masyarakat, berkongsi pengalaman mereka dengan orang ramai dan terus belajar antara satu sama lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa membentuk seseorang pemimpin tidak bermakna memberikan kuasa kepada individu kerana kuasa sahaja tidak menjadikan seseorang itu pemimpin.

"Apa yang orang ramai mahu ada pada pemimpin hari ini ialah sifat rendah diri, berani (moral dan peribadi), prihatin, integriti dan ketabahan. Nilai-nilai ini akan membuatkan orang ramai percaya kepada pemimpin mereka," katanya.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique