Sunday, August 17, 2008

Permatang Pauh: "Zulkifli akan turun", Shamsul

Oleh Mstar
Isnin, 18 Ogos 2008

PP: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang dikatakan 'hilang' sejak 9 Ogos lalu masih belum muncul-muncul lagi tetapi diyakini akan berada di sini dalam beberapa hari ini untuk berkempen membantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, beliau dimaklumkan Zulkifli sedang bercuti.

"Saya belum jumpa beliau lagi, belum dapat berhubung dengan beliau lagi (sejak minggu lalu). Saya dimaklumkan beliau sedang bercuti, tetapi tidak tahu di mana," kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Zulkifli dilaporkan 'menghilangkan' diri sejak berada di Kuala Lumpur untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi membantah forum anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu.

Sejak selepas demonstrasi itu beliau tidak muncul di khalayak termasuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun pada minggu lalu ada laporan menyebut beliau berada di Kuala Lumpur untuk menguruskan kes perbicaraan mahkamah berhubung petisyen pilihan raya yang dikemukakan terhadapnya.

Pembantu Khas Zulkifli, Saari Fadhil Hud berkata, anggota Majlis Tertinggi PKR itu telah menghubunginya untuk memaklumkan perkara tersebut.

"Beliau akan pulang ke kawasannya minggu depan dan meminta saya untuk menguruskan hal-hal Parlimen Kulim-Bandar Baru termasuk berjumpa dengan orang ramai bagi menyelesaikan masalah berbangkit," katanya.

Ketika ditanya sama ada Zulkifli akan berada di Permatang Pauh untuk berkempen, Shamsul Iskandar berkata, "ya, beliau akan datang."


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique