Thursday, September 18, 2008

"Kecam kerajaan tahan blogger", Kumpulan hak asasi Malaysia

Oleh AP,
19 September 2008

KL: Kumpulan hak asasi Malaysia semalam mengecam kerajaan Malaysia kerana menahan seorang blogger politik terkenal atas dakwaan menghasut selepas beliau menyiarkan gambar bendera negara itu dalam keadaan terbalik dan menggesa para penulis blog lain supaya berbuat sama.
Syed Azidi Syed Aziz, yang mengendalikan blog popularnya Kickdefella, ditahan petang kelmarin di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Mahkamah Majistret di Kota Bharu mengarahkan beliau ditahan selama dua hari mulai semalam.

Hakim Majistret Tengku Amalin A'Ishah Putri Sultan Ismail Petra mengeluarkan perintah itu bagi membolehkan pihak polis menyoal siasat blogger berusia 38 tahun itu di bawah Akta Hasutan.

Syed Azidi mencetuskan kontroversi bulan lalu apabila beliau menandakan hari kemerdekaan negaranya dengan menyiarkan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik sebagai satu bentuk protes terhadap kerajaan negara tersebut.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng, berkata penahanan Syed Azidi 'tidak dapat dijustifikasikan' dan bertujuan mengekang suara-suara yang menentang.

'Ia sebahagian daripada usaha kerajaan hendak mengawal para blogger, memberi amaran kepada blogger, kepada para penulis, bahawa mereka boleh menghadapi tindakan jika kenyataan mereka atau pandangan mereka dilihat sebagai mengancam kerajaan,' kata Yap.

Kesalahan menghasut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Penahanan Syed Azidi berlaku selepas seorang lagi blogger popular, seorang wartawan dan seorang Ahli Parlimen (AP) pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), baru-baru ini.

Wartawan berkenaan dibebaskan sehari selepas ditahan.


No comments:

Post a Comment

Comment and Critique